Saturday, October 24, 2015

Cerpen : Pelangi Untukmu

                                         


"MAMA tak kira. Keputusan mama muktamad!" ujar mama tegas.

Aku bangun. Mama yang membelakangi aku dekati. "Tapi mama.."

"Mama akan pastikan kamu tunang dulu sebelum habis belajar, titik!" tambah mama lagi sebelum berlalu pergi meninggalkan aku yang kelu lidah tidak terkata apa-apa.

Aku tunduk menyembah bumi. Sungguh aku tidak terkata apa-apa. Kata-kata yang baru dilontarkan oleh mama benar-benar membuat aku lemah. Runtun jiwa aku mendengar keputusan mama yang langsung tidak masuk dek akal! Aku tidak dapat menerimanya. Dunia aku terasa seakan-akan terbalik. Masa hadapan aku yang dahulu cerah disinari cahaya matahari kini terasa gelap seperti air longkang. Ini tidak adil bagiku. Aku tidak mahu!

Langkah aku atur ke kamar ku di tingkat atas. Pintu aku tutup rapat dan menguncinya. Sebingkai gambar di sisi katil aku ambil dan tatap.

"Papa....Zia tak kuat. Zia tak kuat nak harungi semua ni. Zia tak mampu. Zia sunyi, papa." Gambar yang berada di dalam bingkai aku usap perlahan. Rindu akan insan yang berada dalam gambar itu tidak dapat terungkap oleh kata-kata. Hanya Tuhan saja yang tahu bertapa aku merindui dia yang bergelar ayah itu.

"Papa hadiahkan ini pada Zia. Zia jaga elok-elok ya."

"Papa, teddy bear Zia jatuh. Dekat sana tu!"

"Sekejap sayang, papa ambilkan."

PINNN!!!!!!!!!

"Papa! Papa! Bangun papa! Papa jangan tinggalkan Zia. Papa....."

Aku pejam mata rapat. Serapat-rapatnya. Peristiwa itu masih menghantuiku. Ia masih segar dalam memoriku. Aku tidak akan dan tidak mungkin melupakannya. Sakit. Itu yang aku rasakan selama tempoh ini. Sakit ini terlalu dalam. Ini memang salah aku. Aku seorang pembunuh! Aku bunuh ayah aku sendiri. Pipi yang lencun dengan air mata tidak aku hiraukan. Hati yang telah lama terluka ini tak akan pernah sembuh sampai bila-bila pun. Tiada siapa yang peduli. Biar aku sendiri.


LANGKAHKU dipercepatkan. Tergesa-gesa mengejar masa. Hampir saja aku terlanggar orang, nasib baik sempat aku elak. Tatkala susuk tubuh seseorang yang dicari kelihatan, aku pantas mendapatkannya.

"Weh sorry lambat." ujarku.

"Boleh blah la sorry kau tu. Kau dah bazirkan masa 25 minit aku tau, Zia. Dah macam patung cendana aku tercegat tunggu kau dekat sini." Muncung bibir Syikin bersuara. Aku tersenyum. Terus bahunya aku peluk.

"Alah yang kau touching sangat ni dah kenapa? Bukan selalu pun aku lambat. Dahlah jom pergi makan. Aku lapar ni." Marah-marah pun, Syikin tetap mengikut langkahku. Senang saja nak pujuk budak ni sebenarnya.

"Apa? Kahwin?!"

Aku cepat-cepat tarik tangan Syikin untuk duduk kembali. Punyalah terkejut sampai berdiri dia. "Kau dengan suara speaker kau memang tak boleh berpisah, kan? Malu kot orang pandang." Aku lihat Syikin tersengih sambil meminta maaf pada orang sekeliling. Buat malu keturunan betul.

"Sorry la weh. Aku terkejut gila. Berita yang kau baru sampaikan ni memang hot and spicy. Kahwin? Ish..gila..gila." Tergeleng-geleng kepala si Syikin. Aku senyum nipis. Kalau dia pun terkejut separuh nyawa, habis aku ni pula macam mana? Haih.

"Kau ni biar betul nak kahwin? Aku taulah kita sekarang tengah final year tapi takkanlah nak kahwin dah?" soal Syikin.

"Entahlah, kau pergi tanya mama aku sendiri." Jawabku malas.

"Aku nak pergi tanya Datin Asrya? Kirim salamlah. Kau pun tahu kan, mama kau tu mana boleh nampak muka aku yang cun ni. Asal nampak aku je, hmm mulalah dia nak panggil bibik kau tu suruh halau aku. Sedih betul hati ni."

Aku diam. Tidak mampu untuk menjawab kerana itulah kenyataannya. Mama memang tidak boleh terima hakikat yang aku berkawan dengan Syikin. Katanya tak sama taraf sebab Syikin cuma anak pemandu lori. Mama..mama..

Tangan Syikin aku pegang. "Maafkan mama aku, ya?"

Syikin memandang aku. "Ish ni yang aku malas ni. Yelah, berapa kali kau nak minta maaf? Naik jemu aku dengar." Tersenyum lega aku mendengar. Maafkan aku, Syikin.


KERUSI aku tarik lalu melabuhkan punggung di situ. Telefon bimbit di tangan aku pegang kejap. Menanti bicara dari orang sana.

"Cubalah bincang sekali lagi dengan mama."

"Akak kenal mama macam mana, kan? Kalau dia kata putih, maka putihlah jadinya. Tak adanya tiba-tiba nak berubah jadi oren." adu aku.

"Hmm sabarlah dik. Mungkin mama masih terpukul dengan peristiwa dulu." jawab kakak.

"Dah dua belas tahun kak. Tak cukup lagi ke?" Getaran pada suara cuba aku sembunyikan. Kakak terdiam. Tiada jawapan untuk soalan aku.

"Kak...baliklah kak. Zia sunyi dekat sini." Kedengaran keluhan berat dari kakak. Aku tetap akan memujuk walaupun aku sudah tahu jawapan yang bakal keluar dari mulutnya.

"Tak boleh Zia..akak belum bersedia lagi." sayu saja kedengaran suara kakak. Aku tahu beban yang ditanggung kakak. Aku faham  bertapa sulitnya hidup dia.

"Tak apalah. Ciumkan Sofia untuk Zia, ya? Kata maksu comel dia ni rindu." Membayangkan wajah comel Sofia yang tembam mengalahkan Michelin itu membuatkan aku tersenyum. Rindu pada si kenit itu. Mendengar gelak tawa dari kakak sekurang-kurangnya membuat aku lega. Biarpun hidup dalam serba salah tapi aku tahu dia bahagia.

Selepas menamatkan panggilan, aku turun ke dapur. Tekak yang kering perlu dibasahkan. Sewaktu menuruni tangga, aku berselisih dengan mama.

"Minggu depan Datin Balqis nak datang rumah, dia nak jumpa kamu. Zia jangan nak pergi mana-mana pula." usai berkata mama meneruskan langkah meninggalkan aku. Keluhan berat aku lepaskan. Mama memang betul-betul serius dengan keputusannya. Apa perlu aku buat?


DULANG aku tatang dengan sebaik mungkin. Sampai sahaja di ruang tamu, aku menghidangkan minuman dan kuih yang sempat aku dan Mak Iti uli kelmarin. Punyalah gigih kami buat sampai berdebu dapur. Semangat kau nak sambut mak mertua. Eh?

"Jemput minum datin." pelawaku dengan senyuman.

"Apa datin-datin ni? Panggil umi lah terus. Kan tak lama lagi kita dah nak jadi keluarga." Aku senyum tawar mendengar bicara Datin Balqis. Pahit dan kelat tanpa gula. Sekelat tekak aku untuk menelan kenyataan yang harus diterima.

"Cantiknya anak you ni Asrya, manis orangnya." Aku, senyum lagi tapi kali ini peratus kemanisan naik sedikit menajdi tangga satu. Orang puji kot, takkan kau nak tayang muka masam? Kelihatan Datin Balqis mengeluarkan sesuatu dari beg tangan mahal miliknya. Mungkin diperbuat dari London ataupun Itali. Kalau tak Itali, mungkin Paris. Sibuk betul aku ni!

"Ini ada sedikit gambar anak I, you tengok-tengoklah ya." Sampul putih itu diberi kepada mama. Aku hanya pandang melalui ekor mata. Hmm tengoklah mama. Mana tahu kalau berkenan, kahwin saja terus. Dapatlah aku daddy muda sorang. Terasa geli pula anak tekak.

"Amboi, kacaknya anak bujang you. Apa nama dia? Farhan? Hm sesuai sangatlah kita jodohkan mereka berdua ni." Aku hanya mampu menggeleng. Sudahlah mama. Muka hodoh gigi jongang depan pun, kalau duit berkepuk oang kata hensem juga.

"I ingat nak cepat-cepatlah langsungkan mereka berdua tu. I tak sanggup nak tengok anak I tu bersedih lama-lama."

Bersedih? Bakal tunang aku tengah bersedih, sebab?

Pulang saja Datin Balqis, aku segera membawa dulang minuman ke dapur untuk dibasuh. Setelah selesai, kedengaran namaku dipanggil mama.

"Mama nak cakap sikit dengan kamu." Melihat aku yang sudah selesa duduk, mama pun memulakan bicara. Mama hulurkan gambar yang diberikan oleh Datin Balqis sebentar tadi kepadaku. Katanya suruh aku simpan. Macamlah aku hadap sangat.

"Mama dah berbincang dengan Datin Balqis, kita akan langsungkan pertunangan kamu hujung bulan ni." sebaris ayat dari mama membuat aku terkedu.

"Hujung bulan ni? Cepat sangatlah ma. Zia belum bersedia lagi." luahku.

"Kalau nak ikutkan sedia kamu, sampai bila pun kamu tak bersedia. Mama tak kira hujung bulan ni mama akan tunangkan kamu juga." tegas mama. Aku benar-benar terasa ingin menangis. Kenapa mama? Kenapa mama dera Zia macam ni?

"Sebab harta ke mama buat semua ni? Ke sebab mama nak balas dendam pada Zia?" Pertanyaan aku membuatkan mama menoleh memandangku dengan pandangan yang agak sukar untuk aku tafsirkan.

"Kamu jangan nak merepek, Zia!"

Aku berdiri merapati mama."Betulkan apa yang Zia cakap? Mama memang nak balas dendam dekat Zia. Mama memang benci Zia sebab Zia punca papa meninggal, kan? Mama mengaku sajalah. Zia boleh nampak semua tu. Selama ni mama buat macam-macam supaya Zia rasa terseksa. Sekarang mama nak dera Zia lagi dengan suruh Zia kahwin. Betulkan apa yang Zia cakap?"

"Cukup Zia, cukup! Papa kamu dah lama meninggal dan satu lagi, mama buat semua ni untuk kebaikan kamu."

"Kebaikan?" Aku gelak sinis. "Ya, kebaikan untuk gelapkan masa depan Zia semata-mata untuk penuhkan impian mama!!!"

Pang! Satu tamparan hinggap di pipiku. Sakit tapi aku sudah terbiasa kerana ini bukan kali pertama mama menampar aku. Air mata cuba aku tahan.

"Kamu jangan biadap, Zia!" mencerlung mata mama menikamku. Aku terus lari naik ke atas. Sudah tidak ada apa lagi yang perlu dibincangkan. Mama memang selalu begini. Dari kecil hidup aku diatur. Tidak pernah walau sekali pun dia bertanya apa yang aku inginkan dalam hidupku. Kecewa, itu yang aku rasakan.

Pintu aku tutup rapat dan menguncinya. Sampul gambar di tangan aku renyukkan segeram-geramnya, kemudian aku buang ke dalam tong sampah. Benci dengan semua ini! Buat apa aku hidup kalau hanya terseksa begini? Aku penat.


"ZIA nak tahu tak, sebenarnya hidup kita ni macam pelangi."

"Kenapa pelangi pula papa?"

"Hidup kita ini dihiasi dengan pelbagai warna sama seperti pelangi. Untuk menjadikan hidup kita ini indah seperti pelangi, kita mestilah berusaha untuk mencorakkannya dengan warna-warna yang cantik."

"Zia...tak fahamlah papa."

"Satu hari Zia pasti akan mengerti." ujar papa sambil tersenyum.

Tak, Zia tak mengerti papa. Sampai sekarang Zia masih tidak faham sebab hidup Zia langsung tiada warna. Gelap dan suram sahaja hari-hari Zia, papa. Zia perlukan papa untuk fahamkan Zia. Setitis demi setitis air mataku jatuh ke riba. Inilah rutin aku. Jika ada masalah, aku pasti akan datang ke sini. Tempat ini penuh dengan memori aku bersama papa. Aku memandang kawasan sekeliling taman itu. Penuh dengan orang ramai, mungkin kerana hujung minggu. Setiap daripada mereka yang ada di situ pasti ada pasangan tidak kira kekasih ataupun keluarga. Aku? Aku hanyalah keseorangan.

Pandangan aku buang jauh ke arah tasik. Tenang dan damai sahaja tapi tidak mampu mendamaikan hati aku yang berkecamuk saat ini. Sampul gambar di tangan aku pandang. Sejujurnya, aku mengutip kembali sampul itu. Takut diketahui mama akan tindakan aku membuang gambar itu tapi untuk melihat isinya? Hmm tak mungkin. Aku langsung tak peduli.

Saat aku menoleh ke tepi, mata aku bertembung dengan seseorang tapi orang itu cepat-cepat memalingkan mukanya. Aku menoleh memandang ke hadapan kembali. Terdetik sesuatu di hatiku. Lelaki itu tengok aku ke? Aku cuba menoleh kembali secara perlahan-lahan dan ya, kali ini aku pasti bahawa lelaki itu memang sedang memandang ke arahku. Cuma sengaja dia menyembunyikannya.

Siapa pula lelaki tu? Kenapa dia curi-curi tengok aku? Jangan-jangan perogol bersiri tak? Ke sebab dia ingat aku gila cakap sorang-sorang? Tapi aku cakap dalam hati, mana ada orang dengar. Entah-entah lelaki itu yang gila? Ish seram! Baik aku beredar segera. Beg tangan di sisi segera aku galas dan melangkah pergi dari situ. Sempat aku menoleh ke belakang dan lelaki itu masih memerhatikan aku. Ya tuhanku, apa masalah lelaki ni?!


BUKU di tangan aku angkat lalu membaca isinya dengan teliti. Final exam semakin dekat, aku tidak boleh buang masa. Aku duduk di atas kerusi di taman bunga milik mama. Baca di sini lebih tenang dan cepat masuk otak. Sedang aku membaca, sebuah kereta memasuki garaj. Tidak perlu diteka, sudah aku tahu gerangannya. Kelihatan Pak Udin turun dari tempat pemandu lalu membuka pintu belakang kereta. Saat mama melewati taman, aku pura-pura membaca. Sejak kejadian aku ditampar mama dua hari lepas, kami bagai melancarkan perang dingin dalam diam.

"Dah tengok gambar tu?" soal mama.

Aku hanya mendiamkan diri. Agak-agak kalau aku cakap belum, mama marah tak? Ke nak jujur saja yang aku pernah buang gambar tu sebab sakit hati sangat? Alahai mana satu ni? Keliru! Melihat aku yang hanya mendiamkan diri, mama pun mengatur langkah masuk ke dalam. Lega hati aku tidak perlu menjawab soalan yang agak boleh membawa maut itu.

Cukup satu jam, aku membawa diri masuk ke dalam rumah. Mana boleh baca lama-lama, mengantuk weh! Kelihatan mama sedang membaca majalah di ruang tamu. Hmm aku membaca, mama pun nak membaca juga, tiru! Mendengar deheman dari mama menyebabkan langkahku terhenti.

"Hujung minggu ni pergi cuba baju tunang. Mama dah tempah dekat butik." ujar mama mendatar tapi masih kedengaran agak dingin.

Aku terkesima. "Mama langsung tak berbincang dengan Zia. Mama sedar tak yang nak bertunang ni Zia?" Pertanyaanku dibalas dengan senyuman sinis mama. Cukup terkesan pada hatiku.

"Berbincang? Memangnya kamu berminat ke? Zia, mama tahu yang Zia langsung tak setuju dengan keputusan mama ni tapi mama tak kira. Kamu kena bertunang juga dengan Farhan. Muktamad!" tegas mama.

Bibir aku gigit geram. Cuba menahan rasa di hati. Asyik-asyik nama tu. Mulai saat ini aku benci semua orang nama Farhan! Terhegeh-hegeh nak bertunang dengan aku apahal? Jumpa pun tak pernah. Cukup penat dengan sikap mama yang langsung tidak kenal erti memahami. Aku melangkah semula ke pintu rumah. Kunci kereta aku capai dan beransur pergi. Destinasi aku saat ini hanya satu.

Mulut aku tutup dengan telapak tangan. Menyembunyikan sendu tangis yang kian rancak. Ya Allah, lemahnya aku. Berdosakah aku kerana melawan cakap mama? Pandangan aku buang ke atas memandang langit yang kelihatan suram dan mendung. Sampai bila aku harus sabar begini? Hidup aku bagaikan seorang anak tiri.

Tiba-tiba satu tangan menghulurkan tisu. Muka, aku angkat. Lelaki itu!

"Ambil la. Air mata tak baik untuk kesihatan." ujarnya selamba. Tak baik untuk kesihatan? Cikgu Sains mana ajar kau hah?

"Sorang saja? Boleh duduk?" pintanya. Aku memandang tempat duduk di sisi ku dengan ekor mata. Dah nampak kosong, buat tanya lagi. Belum sempat aku menjawab, dia sudah duduk. Eh aku tak izinkan pun! Aku pandang lelaki di sisi aku itu. Gayanya santai sahaja, t-shirt merah dan jeans. Cuma nampak agak selekehlah sikit. Siapa dia ni?

"Aku selalu nampak kau dekat sini." Pergh bahasa dia macam dah lama kenal aku kot! Bestfriend lama yang terpisah ke macam mana ni?

"Dan...setiap kali itu jugalah aku nampak kau menangis." Mendengar bicaranya membuatkan aku menunduk. Tak guna, stalker! Betul la sangkaan aku selama ni, dia memang tengok aku pun. Dasar lelaki miang!

"Kau tak penat ke menangis?" Sentap aku mendengar soalannya.

"Kau ni siapa? Sibuk sangat hal aku apahal?!" tengkingku. Ambik kau! Pertemuan pertama dah kena tengking. Tapi lelaki itu hanya membalas dengan senyuman dan kelihatan agak sinis. Kurang asam! Kenapa semua orang asyik nak senyum sinis saja dekat aku ni? Apa dah mahal sangat ke gula dalam dunia ni sampai tiada kemanisan langsung dalam senyuman!? Argh serabut betul.

"Tengking-tengking orang...lepastu menangis. Itulah perempuan, terlalu lemah." Bicaranya yang sedang membuang pandangan ke arah tasik. Aku berdiri menghadapnya dengan geram. Nak libas dengan beg tak boleh, lupa nak bawa.

"Hei mulut kau jangan nak puaka sangat, ya? Kau tak payah nak berlagak dekat sini. Kecil-kecil dulu kau menangis jugakan bila nak buang air besar. Jangan nak cakap besar sangatlah. Aku tahu orang macam kau ni memang tak ada perasaan. Bila terluka kau bukan menangis tapi ketawa. Elok sangatlah tu, sipi saja lagi nak sama dengan orang gila." Jelingan tajam aku hadiahkan padanya sebelum melangkah pergi. Suka-suka hati saja datang bagi tisu, lepastu nak mengutuk orang. Aku datang sini nak tenangkan diri tapi lain pula jadinya. Menyesal pula aku pakai tisu kau!


TERINGAT akan bicara mama kelmarin, aku kembali mencari gambar itu. Mungkin lepas aku tengok gambar itu boleh mengubah satu persen hatiku ataupun aku jampi saja gambar tu biar bakal tunang tak berapa aku nak sayang tu demam malaria setahun. Biar tak jadi kahwin terus! Astagfirullah..apalah aku ni doakan benda yang tak baik.

Aduh mana gambar bakal tunang yang tak berapa aku nak sayang ni? Menghilang pula dia. Hampir seluruh beg aku geledah tapi tetap tak juga jumpa. Jangan-jangan dah hilang? Mampus aku kalau mama tanya. Aku cuba mengingati kali terakhir aku melihat sampul gambar itu dan ya. Di taman tasik!

Di taman, aku cuba mencarinya sekali lagi. Sampai terbongkok-bongkok aku mencari gambar itu. Aku mencari di merata-rata tempat, di jalan, di batang pokok dan di bawah kerusi-kerusi. Sekejap, jangan cakap gambar tu masuk dalam tasik? Ataupun dah terbang dibawa angin?

"Alamak, habislah aku!!!!!!!!!!" Jerit aku sekuat hati.

Tiba-tiba kedengaran tepukan dari belakang. Aku segera menoleh. Berubah terus ekspresi aku.

"Bagus..bagus. Semalam menangis, hari ni menjerit pula. Esok nak buat apa pula? Emm meh aku teka. Esok...kau mesti nak...haaaa aku tahu, esok mesti kau melalak pula. Aaaaaaaaa!"

"Hey diamlah! Macam mana kau boleh ada dekat sini? Ke mana-mana aku pergi mesti kau ada. Kau ni siapa hah?" soalku geram. Tangan aku genggam sekuat hati. Ada ke patut dia tekak melalak? Tolonglah..ingat aku bini tarzan?

"Aku orang awamlah yang bebas untuk ke mana-mana saja yang aku inginkan." jawabnya selamba. Mata aku kecilkan. Skema betul jawapan dia. Malas aku nak layan, baik aku berambus cepat. Sewaktu aku ingin membuka langkah , sempat dia berpesan sesuatu.

"Kita ni hanya manusia biasa. Kalau ada masalah, mohonlah pada pencipta."

Tersentap lagi aku hari ini. Betul apa yang dia cakap, tepat mengena batang hidung aku sendiri tapi dia ni siapa? Hmm nanti kalau aku tanya mesti dia jawab orang awam lagi. Meluat aku!


DOA aku aminkan. Usai solat, aku lipat telekung dan sejadah. Betul kata lelaki itu, mohonlah pada pencipta. Tak ada guna menangis memanjang. Hari yang paling menyedihkan telah berlalu. Cincin yang tersarung di jari aku pandang dengan sayu. Kelmarin kebanyakan tetamu aku tak kenal sebab semuanya kawan-kawan mama. Orang yang aku sangat perlukan, Syikin..kakak langsung tiada di sisi ku. Hari tunang yang sepatutnya bahagia telah bertukar menjadi suram. Senyuman berada di bibir semua orang tapi tidak aku.

"Nah, selamat bertunang." Hadiah yang dihulurkan Syikin aku ambil dengan berat hati.

"Hei orang dah bertunang senyumlah sikit." ujar Syikin. Entahlah. Terasa urat-urat senyuman aku terlalu tegang untuk lontarkan senyuman.

"Weh cantik gila cincin kau, berlian kot! Baru tunang dah dapat cincin berlian, nanti dah kahwin macam manalah pula eh?" Terangkat-angkat kening Syikin memandang aku.

"Kau ingat aku hadap ke semua ni? Aku cuma nak kebahagiaan saja!" Bentakku.

"Zia Anara ku sayang bucuk bucuk..kau nak kebahagiaan sangat kan? Jadi kau kenalah kejar dia. Kalau kau asyik duduk terperuk bersedih, mana kebahagiaan tu nak datang weh." nasihat Syikin yang aku tak tahulah bernas ke tidak.

"Entahlah. Selagi mama aku bersikap macamtu, aku tak mungkin rasa bahagia. Aku buat semua ni pun sebab mama aku."

"Kau tak nak ke lari macam yang kakak kau buat?" Bulat mata aku tatkala mendengar soalan Syikin.

"Weh kau gila? Aku sayang mama aku lagi kot. Tak mungkin aku tinggalkan dia sorang-sorang." Bicara dari aku membuat Syikin menarik senyuman.

"Dah tahu sayang, ikut sajalah." ujarnya. Hmm entahlah Syikin oi. Aku buntu!


NAFAS lega aku lepaskan. Kini sudah tamat zaman aku sebagai seorang pelajar, cuma perlu tunggu keputusan dan seterusnya graduasi yeayy! Lepas ni bolehlah kahwin. Eh? Merepek lebihlah aku ni. Habis sahaja kertas terakhir tadi, aku terus ke sini. Menghilangkan stress yang terkumpul dalam kepala otak. Hanya tempat ini yang mampu menenangkan aku. Tempat mana lagi? Mestilah taman tasik. Petang ini kelihatan tidak terlalu ramai orang. Bolehlah aku ambil angin sepuas-puasnya. Aku mengambil tempat di sebuah bangku. Sekejap saja masa dah berlalu. Papa, Zia dah habis belajar. Kini barulah senyuman boleh terpamer di bibir.

"Wah tak sangkalah, hari ni adik manis banyak sinyummm." Satu suara menyapa. Seperti yang dijangka, dia lagi!

"Oi duduklah sana sikit, aku nak duduk ni." ujarnya. Aku memandangnya melalui ekor mata. Ewah, sedap saja mengarah orang. Kau sapa hah? Ini tempat ana yang punya.

Melihat aku yang hanya diam membatu, dia bersuara lagi. "Kau pekak ke? Aku nak duduk ni."

"Kenapa pula nak duduk sini? Pergilah duduk tempat lain. Banyak lagi tu haaa kerusi-kerusi dekat sana. Tinggal pilih dan duduk je." jawabku selamba. Padan muka!

Aku lihat lelaki itu mengangguk-anggukkan kepalanya. "Okey tak apa kalau kau tak nak bagi aku duduk, aku duduk bawah saja. Lagi syok. Rumput-rumput ni sedap gila bila duduk haaaa" Aku mencebik melihat ekspresi mukanya. Tak boleh blah betul!

"Tahniah atas pertunangan walaupun terpaksa." suaranya tiba-tiba.

"Mana kau tahu aku bertunang?" Melihat bibirnya yang menjuih ke arah jariku, aku mengerti. Jelas terpancar betul perkataan terpaksa tu dekat muka aku sampai orang pun tahu. Sedih betul hidup.

"Aku nak tanya kau sesuatu boleh?" soalku padanya tatkala dia menoleh. "Kau siapa? Okey aku tahulah kau ni orang awam, warganegara Malaysia yang sah tapi maksud aku, siapa nama kau? Kenapa kau selalu ada dekat sini? Dan kenapa kau selalu sangat ganggu aku?" Bertalu-talu soalan keluar dari bibirku. Aku harap lelaki itu dapat menjawabnya dengan jujur.

Lelaki itu diam sebentar sebelum bersuara. "Kau boleh panggil aku Wafiy. Aku selalu datang sini sebab aku suka tempat ni dan aku tak ganggu kau pun. Aku cuma temankan kau." Senyum lebar dia sambil menjawab soalan ku. Cis, teman konon!

"Oh. Hmm nama aku Zia."

"Tahu..."

"Kau tahu nama aku?"

"Sebab kau beritahulah."

"Eh?" Apa lelaki ni cakap putar belit. Dia ingat aku tak cerdik ke apa. Dia tahu nama apa? Tapi dari mana?


TUBUH kenit itu aku peluk seerat-eratnya. Melepaskan rasa rindu yang dipendam sekian lama. Anak sedara maksu dah balik!

"Kenapa Sofia makin gemuk ni? Tak cunlah nanti." ujarku sekadar usikan.

"Tak cun tapi comelkan, maksu?" Terserlah gigi susu milik Sofia yang tersusun rapi. Hari ini genap umur Sofia lima tahun dan sudah lima tahun jugalah berlalu sejak kakak melangkah kaki keluar dari rumah. Kakak yang duduk di hadapan aku pandang.

"Abang Rizal sihat?" soalku.

"Alhamdulillah dia sihat, cuma sibuk sikit dengan kerja." Senyuman kakak aku pandang lama. Dapat aku lihat kebahagiaan yang terpancar pada wajahnya. Kakak memang layak untuk bahagia dan aku tak rela jika kebahagiaan itu dirampas lagi darinya.

"Kakak duduk sini sampai bila?"

"Esok kami balik dah." Mati senyuman aku mendengar bicaranya. "Alah cepatnya. Duduklah lama sikit dekat ni kak." rayuku.

Kakak hanya senyum. "Tak boleh Zia. Tempat akak bukan di sini. Aku datang sini pun sekejap saja untuk melawat kamu." Tangan aku digenggam kakak.

"Zia....akak harap Zia kuat. Akak tahu Zia mampu hadapi semua ni. Jangan jadi macam kakak. Jaga mama, ya?"

Aku terkedu. Permintaan kakak terasa berat untuk aku tunaikan. Mampukah aku? Tidak. Sejujurnya jiwa aku menjerit lemah. Meronta agar dilepaskan dari belenggu masalah ini tapi aku tersepit. Tersepit dalam menjaga hati mereka. Habis hati aku pula bagaimana?

Selesai menghantar kakak dan Sofia ke hotel, aku pulang ke rumah. Baru sahaja aku mahu memulas tombol pintu bilikku, kedengaran seperti seseorang sedang batuk. Aku cuba mencarinya dan bunyi itu datang dari bilik mama. Aku mendekati bilik mama. Semakin lama batuk itu kedengaran semakin teruk. Aku terus mengetuk pintu bilik dan menjengah masuk. "Mama okey ke?" soalku. Melihat aku masuk, mama seperti menyembunyikan sesuatu. Wajah lesunya aku pandang.

"Haa Zia, eloklah kamu ada dekat sini. Mama ada hal penting nak beritahu Zia."

Aku sekadar menanti bicara mama yang selanjutnya. "Alang-alang Zia dah habis belajar ni, mama ingat nak percepatkan perkahwinan kamu. Datin Balqis pun dah setuju. Mama tahu kamu mesti tak setuju tapi mama dah buat keputusan."

Mama memang selalu begitu. Membuat keputusan melulu tanpa berbincang dengan aku. "Jaga mama, ya?" Suara kakak tiba-tiba sahaja bagai terngiang-ngiang di telingaku. Mungkin sudah sampai saatnya untuk aku relakan segalanya. Mungkin ini yang terbaik. Yang telah ditakdirkan oleh-Nya untuk aku.

"Ya, mama. Mama buatlah apa-apapun. Zia ikut saja, asalkan cukup untuk membuat mama bahagia." Mendengar bicara aku, air muka mama seperti berubah. Mungkin terkejut dengan perubahanku. Aku meminta diri untuk keluar. Walaupun separuh jiwa aku tidak merelakannya tapi demi mama, aku akur.


RUMPUT di tanah aku pandang lama. Indahnya menjadi tumbuhan. Itulah pandangan kebiasaan manusia. Boleh hidup bebas mekar menghijau. Namun kita lupa bahawa dalam kehidupan tumbuhan yang menghijau juga terdapat parasit yang hidup untuk merosakkan keindahan itu. Tuhan itu Maha Adil. Dia memberi kebaikan, dalam masa yang sama juga terselit keburukan. Tapi keburukan itu bukan untuk melemahkan kita, malah untuk mengajar kita lebih kuat dalam mengatasi keburukan itu. Tapi manusia selalu menyerah sebelum mencuba.

"Jauh termenung, rindu tunang ke?" sapa seseorang. Aku mencebik. Sudah tahu siapa gerangannya. Tidak sah kalau tidak menyibuk. Rindu tunang? Tak hingin!

"Apahal kau hari ni? Aku tengok macam orang tak ada persaan saja." ujarnya. Pandangan aku lirikkan padanya yang duduk di rumput. Sahlah dia ni memang sahabat aku yang terpisah. Sembang mengalahkan kenal sepuluh tahun.

"Tak ada apalah." jawabku malas. Tak boleh ke dia berambus saja dari sini? Menyibuk memanjang.

"Zia, kenapa kau selalu datang sini?" soalnya.

"Sebab sini banyak kenangan aku dengan papa aku."

"Papa kau dah tak ada ke?" tanya Wafiy polos. Aku sekadar  mengangguk.

"Kau mesti terlalu rindukan papa kau, kan?" Keningku bertaut mendengar ayatnya.

"Mana kau tahu?"

"Jelas terpancarlah dari muka kau." Aku tersenyum. Teruk sangat ke muka rindu aku?

"Wafiy, boleh aku tanya kau sesuatu?" Dia mengangkat keningnya memandangku.

"Kau pernah tak kehilangan orang tersayang?" soalku. Aku lihat Wafiy terdiam lama. Wajahnya langsung tidak menunjukkan riak apa-apa.

"Pernah. Aku pernah kehilangan tunang. Permergian dia meragut separuh hidup aku." Aku tiba-tiba berasa tertarik dengan cerita dia.

"Dia pergi mana? Lari ikut jantan lain ke?" soalku melulu.

Wafiy menggeleng sambil senyum. Aku lihat dia menarik nafas dalam-dalam sebelum memulakan bicara. "Leukimia. Penyakit tu yang rampas dia dari aku." Oh okey baru kini aku faham.

"Aku menyesal. Aku menyesal sebab tak ada bersama-sama dia untuk berjuang lawan penyakit tu. Bukan aku tak peduli tapi aku langsung tak diberitahu. Sampailah satu hari aku dapat tahu yang...dia dah tak ada." Wafiy menunduk. Wajahnya berubah tiga ratus enam puluh darjah.

"Oi sorrylah aku tanya kau soalan sensitif ni. Kau okey ke?" Senyuman di bibirnya membuat aku berasa lega sedikit.

"Aku okey, lagipun sampai bila nak bersedih? Life goes on dan kau! Kau kenalah tiru macam aku, kuat dan kental. Bukannya menangis sepanjang hari." ujarnya sambil menunding jari ke arahku.

Eh aku pula yang kena? Nasiblah...


AKU menggaru-garu kepala yang bebas kelemumur. Entah yang mana satu yang perlu aku pilih.Yang hijau ala daun ke? Yang biru bak langit ke? Atau yang merah umpama darah? Kusut! Sampel kad-kad kahwin di hadapan aku pandang lama. Haritu umi atau nama sebenarnya Datin Balqis cakap nak uruskan hal-hal kad kahwin ni tapi kenapa hari ni aku pula yang kena pilih warna ni? Dah di luar bidang ni!

Tiba-tiba fikiran aku melayang memikirkan Wafiy. Dia tu siapa? Kalau difikir-fikirkan balik pelik juga cara pertemuan kami ni. Kenapa dia sesenang hati saja boleh tegur aku? Lepastu duduk bersembang macam dulu satu sekolah satu kelas. Aku musykil la hmm.

"Zia.." panggil mama, membuatku tersentak.

Aku menoleh. "Ya?"

"Petang ni jangan ke mana-mana ya. Farhan nak datang rumah."

Mendengar bicara mama, kening aku bertaut. "Farhan? Siapa tu?"

Bercekak pinggang mama memandangku. "Aik..nama tunang sendiri pun dah lupa ke?"

Oh ya! Baru aku ingat, nama tunang tak berapa nak aku sayang tu. Hm bukan lupa mama tapi tak pernah nak ambil tahu pun. Mama hanya menggeleng sebelum berlalu pergi.

Okey, kembali kepada tugas. Sekarang kad mana yang perlu aku pilih? Sedang aku berbicara dengan hati sendiri, telefon aku berbunyi.

"Hello?" sapaku.

"Zia..zia...tolong aku..." Kedengaran suara Syikin menangis di sana.

"Kau kenapa Syikin?"

"Zia..." esakkan suara Syikin membuatkan aku gelisah tiba-tiba. Pantas aku naik ke bilik dan mengambil tudung. Kemudian turun kembali lalu mencapai kunci kereta. Aku seperti terdengar mama berkata sesuatu tapi kerana terlalu tergesa-gesa aku mengabaikannya.


AKU berdiri tatkala namaku kedengaran seperti diseru-seru. Siapa tu? Panggil hatiku. Tiba-tiba satu tangan mencuit bahuku lembut. Aku pusing ke belakang. Papa?

"Zia..dah sampai masanya." ujar papa sambil tersenyum. Senyuman itu..sudah lama aku tidak melihatnya.

"Sampai masa apa papa?"

"Sudah sampai masanya untuk papa lepaskan Zia kepada lelaki yang lebih mampu jaga Zia, menjadi pelindung Zia dari kelukaan, menjadi sayap yang bawa Zia bangun dari kejatuhan dan imam yang akan memimpin Zia hingga ke syurga."

"Papa, apa papa cakap ni? Zia tak faham." Papa hanya senyum tanpa menjawab soalanku. Tiba-tiba mama datang dan memegang tangan papa. Kemudian mereka berlalu pergi.

"Papa...mama...jangan tinggalkan Zia!!!"

"Zia...bangun Zia..." satu suara memanggil. Aku membuka kelopak mata perlahan-lahan. Terserlah wajah Syikin di depan mataku.

"Alhamdulillah Zia, pembedahan dah selamat dilakukan. Doktor kata ayah aku cuma ada kecederaan sedikit dekat kepala."

Aku mendengar bicara Syikin sambil membetulkan dudukku di kerusi. Syikin menggenggam tanganku erat sambil tersenyum. "Terima kasih ya sebab sudi temankan aku."

Aku hanya menunduk, masih memikirkan mimpi sebentar tadi. Jam di tangan Syikin aku tenung lama. Pukul tujuh malam. Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu. Eh kejap pukul berapa tadi?

"Weh Syikin, sekarang waktu apa?" soalku cemas.

"Waktu apa pula? Kan dah nak maghrib ni, waktu malam la."

Waktu malam....bukan waktu petang? Alamak!

"Weh aku kena balik dululah, bye!" Segera aku bangun dan berlalu pergi. Aduhai Zia Anara, macam mana kau boleh tertidur ni?!


KERETA aku parkir di laman rumah. Entah kenapa aku berasa seperti ada sesuatu aura yang agak menyeramkan yang memanggil-manggil aku di pintu rumah. Stereng kereta aku pegang kejap. Selama dua dekad tiga tahun aku hidup, baru hari ini aku berasa takut untuk melangkah masuk ke rumah sendiri. Nafas berat aku helakan. Tiba-tiba kedengaran ketukan di cermin. Cermin kereta aku turunkan. Tersengul wajah Mak Iti.

"Buat apa termenung lagi tu? Masuklah, Datin dah tunggu dekat dalam." ujar Mak Iti. Aku menelan air liur. Naluri aku kuat mengatakan sesuatu yang buruk bakal terjadi. Sebelum melangkah masuk, sempat aku mengangkat tangan berdoa, ya Allah tolonglah aku permudahkan segalanya amin.

Langkah sahaja kaki ke dalam rumah, aku lihat mama yang berdiri tegak membelakangi aku. Tangan aku genggam rapat. Peluh dingin yang merenek aku biarkan.

"Baru nak balik? Dah pukul berapa ni?" soal mama memecahkan kesunyian.

"Zia...."

"Sanggupkan Zia buat mama macam ni?" lontar mama menoleh memandang aku. Renungan tajam daripada mama membuat aku tertunduk memandang lantai. Habislah mama dah naik angin!

"Zia tahu tak berapa malunya mama terpaksa berdepan dengan Datin Balqis dan Farhan petang tadi? Mereka berdua sanggup tunggu lama semata-mata nak jumpa Zia tapi Zia pergi mana? Merayap entah pergi mana. Itu tak lain tak bukan keluar dengan anak pemandu lorilah tu." ujar mama.

"Mama...anak pemandu lori tu ada nama. Nama dia Syikin, ma." ujarku perlahan. Panas betul telinga aku apabila mama sengaja gelar Syikin begitu.

"Oh jadi betullah kamu keluar dengan dia? Bagus, Zia lebih pentingkan dia dari mama." Aku angkat muka tatkala mendengar mama berbicara begitu,

"Baiklah, kamu nak keluar sangat, kan? Pergilah keluar, mulai hari ini mama dah tak kisah kamu nak keluar pergi mana. Silakan pergi." kata mama. Aku tergamam. Cuba mencerna maksud disebalik kata-katanya.

"Apa maksud mama?"

"Mak Iti!" panggil mama kuat. Kemudian Mak Iti datang dengan keadaan tergesa-gesa sambil membawa sebuah bagasi merah jambu. Eh Mak Iti nak pergi mana pula malam-malam macam ni? Takkanlah aku yang salah, Mak Iti pula yang kena tempiasnya? Tapi nampak macam beg aku saja. Jangan-jangan.....

"Apa mama buat ni?" soalku cemas.

"Zia Anara....mulai hari ini, kamu bukan anak mama lagi."

Kata-kata mama bagaikan panahan petir ke hati aku. Kenapa...kenapa aku seperti pernah melihat situasi ini?

"Mama..mama tolonglah jangan buat Zu macam ni. Zu minta maaf mama."

"Lepas, lepaskan aku. Kau lebih pilih jantan tu daripada aku kan? Hah pergilah sana dekat dia."

"Mama...Zu perlukan restu mama. Hidup Zu tak akan bahagia tanpa reda mama."

"Hei Zulaikha, dulu masa kau kahwin lari dengan jantan tu, tak ada pun kau nak datang minta restu aku. Sekarang bila dah susah, baru terhegeh-hegeh nak cari aku? Aku tak ada anak macam kaulah. Berambus!!!"

Mata aku tutup rapat. Ya Allah kenapa perkara yang sama seolah-olah berlaku pada aku hari ini? Apa perlu aku buat?

 Jangan jadi macam kakak. Jaga mama, ya?

Pesanan kakak sekali lagi terngiang-ngiang di telingaku. Tanpa membuang masa, aku terus melutut memeluk kaki mama. Mama seperti terundur ke belakang, mungkin terkejut dengan tindakanku.

"Mama...Zia minta ampun. Zia minta maaf sangat-sangat. Zia bukan sengaja nak malukan mama. Mama tolonglah maafkan Zia? Jangan buat Zia macam ni. Mama jangan halau Zia..." teresak-esak aku menangis di kaki mama. Berharap mama berlembut hati untuk maafkan aku.

"Eh apa kamu buat ni? Lepaslah! Kamu ingat semudah tu saja mama nak maafkan kamu, Zia. Sampai tahap macam ni kamu cabar mama, kamu ingat mama boleh sabar lagi? Sudahlah, inikan yang kamu nak dari dulu lagi? Perkahwinan ini kita batal!"

Makin kuat tangisan aku tatkala mama berkata begitu. Bukan sedih kerana tidak jadi kahwin tapi kerana aku perlu sedar bahawa kini aku telah dihalau.

"Mak Iti, bawa dia keluar sekarang. Saya dah tak nak tengok dia dekat sini." ujar mama menolak aku dari terus memegang kakinya, kemudian berlalu.

"Mama...maafkan Zia mama!" jerit aku kuat. Sakit, itu yang aku rasakan saat ini. Air mata, tolong berhenti. Aku terlalu sakit.

"Zia, sudahlah tu. Biarkan mama kamu sejuk dulu." kata Mak Iti sambil memeluk bahuku.

"Mak Iti, tolonglah Zia....Zia tak nak tinggalkan mama..." Mak Iti hanya berdiam diri. Mungkin buntu untu membantu. Aku akur. Aku bangun dan membawa beg keluar. Mungkin aku perlu beri mama masa. Mama, maafkan Zia.


JAM tangan aku pandang sekilas. Hampir dua jam. Aku pandang kawasan di sekeliling. Lengang dan sunyi. Aku mendengus geram. Waktu aku tak cari, terhegeh-hegeh dia datang. Waktu aku perlukan, jangan kata hidung, anak rambut pun aku tak nampak. Hish! Dengan tidak sengaja timbul rasa geramku pada Wafiy. Kepala aku tunduk semahu-mahunya. Mana dia pergi? Aku...aku betul-betul perlukan seseorang saat ini. Perasaan sedih kini menyelebungi diriku.

Sekarang aku dah jadi anak yatim piatu walaupun pada hakikatnya masih beribu. Tak, aku tak boleh macam ni. Aku kena kuat. Bukan ini ke yang aku inginkan? Perkahwinan dibatalkan. Ya, aku kena buktikan dekat mama yang aku boleh hidup berdikari. Baru sahaja aku ingin bangun, telefonku berbunyi. Rumah?

"Hello?" jawabku.

"Zia....zia cepat datang sini..." kedengaran suara Mak Iti yang cemas.

"Ada apa Mak Iti?" soalku.

"Cepat balik rumah. Datin...datin..."

Aku bangun. "Mama kenapa?!"


TANGAN aku genggam kejap. Cuba menenangkan diri menerima hakikat.

"Datin Asyra menghidap kanser hati tahap empat. Keadaan datin sekarang semakin teruk. Sebenarnya kami dah lama maklumkan tapi mungkin Datin Asyra sendiri yang rahsiakan dari keluarga."

"Macam mana nak sembuhkan penyakit ni, doktor?"

"Pada tahap ini, sel kanser datin sudah mula merebak ke organ-organ yang lain. Jadi buat masa ni.....kita berserah saja pada takdir."

Tersandar lemah aku pada kerusi tatkala menerima berita itu. Ya Allah..dugaan apa lagi ni? Kenapa aku rasa terlalu berat untuk menerima? Perlahan-lahan aku memulas tombol pintu bilik unit rawatan rapi di mana mama telah ditempatkan. Aku berjalan lemah ke sisi katil. Melihat mama yang dipenuhi dengan wayar sana dan sini membuat hatiku runtun.

"Mama...." panggilku. Tangan mama aku genggam.

"Kenapa mama seksa diri mama sampai macam ni sekali?" soalku perlahan. Air mata mulai turun membasahi pipi.

Nafas aku tarik sedalam-dalamnya."Kenapa mama tak pernah beritahu Zia? Kenapa mama tanggung semua ni sendiri?" soalku lagi seolah-olah mama akan jawab semua soalanku.

"Mama..mama kena kuat. Zia dah kehilangan papa, jadi mama tak boleh tinggalkan Zia. Zia dah tak ada sapa-sapa, ma. Zia belum sempat lagi minta maaf dekat mama. Mama, tolong jangan tinggalkan Zia..." Aku menangis semahu-mahunya di sisi mama. Lemah diri untuk menerima kenyataan ini. Aku tak sanggup!


"LUKA ini sekejap sahaja, ia akan pergi tidak lama lagi. Sabar ya, Zia?" ujar papa sambil mengusap lembut kepalaku.

Aku terasa seperti ada sesuatu pergerakan. Lantas kelopak mata aku buka. Dapat aku lihat jari-jemari mama yang bergerak perlahan-lahan. "Mama?" panggilku. Tiba-tiba mesin denyutan nadi yang berada di sebalik katil berbunyi secara mendatar. Timbul perasaan cemas dalam diriku serta-merta.

"Ya Allah mama. Doktor! Doktor! Tolong mama saya....." panggilku kuat.

"Cik, cik tolong tunggu di luar sekejap ya." pinta jururawat itu. Aku melangkah keluar dengan berat.
Perasaan takut menyelebungi diriku. Ya Allah, tolong selamatkan mama. Aku belum bersedia lagi untuk kehilangannya.

"Zia, kenapa ni?" Aku angkat muka, melihat Syikin yang berdiri sambil memegang sejambak bunga.

Tanpa apa-apa bicara, aku terus memeluk Syikin erat. Melepaskan tangisan di bahunya. "Aku takut Syikin. Aku takut."

Syikin mengusap belakangku lembut. "Sabar Zia, sabar. Kau kena kuat. Aku ada dekat sini dengan kau. Nah, ada orang bagi ni." Aku lihat bunga di tangan Syikin.

"Siapa bagi?"

"Entahlah, tadi ada seorang lelaki datang, lepastu dia suruh aku bagi bunga ni dekat kau tapi aku peliklah. Ada ke patut dia suruh aku sampaikan pesanan jangan menangis lagi, tak baik untuk kesihatan. Gila ka apa?"

Aku terkedu. Kata-kata itu....Wafiy datang sini?

Setelah hampir setengah jam menunggu, doktor pun keluar. "Siapa Zia?"

Aku bangun. "Saya, doktor."

Kelihatan senyuman pada bibir doktor itu. "Pesakit dah sedar, dia nak jumpa kamu."

Aku segera meluru ke arah pintu dan masuk ke dalam bilik. Mama berpaling memandangku, menghulurkan tangan agar aku datang dekat dengannya.

"Mama, Zia minta maaf. Zia tahu Zia salah. Zia bukan anak mama yang baik. Maafkan Zia? Zia janji Zia tak akan ingkar arahan mama lagi." ujarku.

Mama senyum tawar. "Zia tak salah. Semua ni salah mama. Mama yang rancang semua ni. Maafkan mama sebab dah seksa Zia." Aku cuba mencerna maksud di sebalik kata-kata mama.

"Apa maksud mama?"

"Mama takut Zia. Mama takut untuk tinggalkan kamu keseorangan. Jadi mama rancang nak cepat-cepat kahwinkan kamu supaya kamu tak sunyi bila mama dah tak ada nanti. Maafkan mama, Zia tapi percayalah mama tak pernah salahkan kamu atas kematian papa. Tak ada seorang ibu pun dalam dunia ni yang tak nak tengok anak dia hidup bahagia."

Oh..baru kini aku faham kenapa mama bertindak sekeras ini. Semua hanya untuk kebahagiaan aku? Kenapa aku bodoh sangat sebab tak nak semua ni dari awal? Keluhan berat aku lepaskan.

"Tapi....Zia setujukan kalau kita teruskan perkahwinan tu? Sebab mama rasa masa mama dah tak lama."

"Mama...." Walaupun sukar untuk aku akui tapi itulah hakikatnya. Tidak senang hatiku mendengar mama berkata begitu. Namun tidak ada apa yang boleh aku lakukan saat ini selain mendoakan mama. Aku tak sanggup kehilangan dia.


SEBULAN berlalu. Kini aku hanya mampu mengira detik-detik terakhir sebelum menamatkan zaman bujangku. Aku melihat diriku yang dibaluti gaun pengantin putih yang sangat sempurna bagiku melalui pantulan cermin. Kemudian pandanganku beralih kepada jambangan bunga yang berada di tepi cermin. Kenapa aku tidak rasa bahagia dengan pernikahan yang bakal berlangsung ini? Kenapa hati aku terasa seperti diikat dengan sesuatu? Aku mengeluh.

"Wah cantiknya adik akak hari ni, berseri-seri macam bidadari tapi kenapa monyok ni?" soal kakak.

Aku senyum tawar. Pintu bilik ditolak. Tersengul wajah Syikin yang sedang menolak mama yang berada di atas kerusi roda. Aku mendekati mama. Wajah pucat digigit kesakitan itu aku pandang.

"Tak sangka anak bongsu mama dah nak kahwin hari ni. Lepas ni mama boleh tutup mata dengan tenang."

"Ma..." gusar hatiku tatakala mama berbicara begitu. Aku tidak ingin mama pergi.

"Zia ingat ya pesan mama, walau apa pun yang terjadi jangan mudah mengalah. Mama nak Zia sentiasa kuat dan tolong jangan menangis lagi. Mama sayang Zia." Kemudian dahiku dikucup oleh mama, lama. Seolah-olah kami tidak akan berjumpa lagi.

Aku turun ke bawah bersama kakak dan Syikin. Setiap langkah yang diatur diiringi debaran di hati. Mungkin perkahwinan ini bukan atas kehendakku namun untuk insan yang telah banyak berkorban untukku, aku merelakannya. Sampai sahaja di bawah, aku melihat seraut wajah yang mana telah bersarang rindu di hati. Wafiy? Kenapa dia ada dekat sini?

"Zia, buat apa berdiri lagi tu? Duduklah, majlis nak mula dah ni." ujar kakak. Aku hanya akur. Pandangan aku kini betul-betul menghadap ke arah Wafiy yang membelakangi aku. Fikiran aku tiba-tiba bercelaru. Setahu aku tunang aku itu bernama Farhan. Kenapa hari ini Wafiy pula yang muncul? Atau mereka sebenarnya orang yang sama? Aku menoleh ke sisi memandang mama. Kebetulan saat itu mama juga sedang memandangku sambil tersenyum dengan penuh makna. Adakah pertemuan aku dengan Wafiy juga dirancang?

"Baik kita mulakan sekarang ya. Wafiy Farhan bin Faliq, aku nikahkan dikau dengan Zia Anara binti Fairuz Malek, dengan mas kahwinnya seribu ringgit tunai."

Dengan sekali lafaz, aku sah menjadi isteri kepada seseorang dalam keadaan yang membuat aku tertanya-tanya. Aku perlukan penjelasan! Selesai membaca doa, aku dapat rasakan seperti tanganku disentuh seseorang. Argh dia ada depan mata! Gugup gila.

"Janji jangan menangis lagi lepas ni?" tuturnya dengan senyuman selepas menyarungkan cincin pada jariku. Alamak, izinkan aku pitam sekarang ni. Teragak-agak mulutku ingin membalas tiba-tiba...

"Datin! Bangun datin..." kedengaran jeritan dari Syikin.

Aku menoleh. "Mama!"


DOA aku aminkan setelah selesai membacanya. Yaasin di tangan aku genggam erat. Pandangan aku buang pada pusara yang masih merah. Sukar untuk aku tafsirkan perasaan aku saat ini. Sama ada aku ingin berasa lega ataupun sedih, aku sendiri kurang pasti. Yang aku tahu, aku tak boleh menangis saat ini. Itu janji aku pada mama. Hujan renyai-renyai membataskan penglihatanku. Tudung yang telah basah aku betulkan sedikit. Mama, terima kasih. Terima kasih kerana telah lahirkan Zia dan sayangkan Zia sepenuh hati mama. Zia akan kuat seperti yang mama mahukan. Mama berehatlah.

Apabila terasa seolah-olah payung memayungiku aku segera bangun dan melangkah pergi. Masih kekok untuk berbual dengannya.

"Zia, tunggu!" Tanganku disambarnya. Aku hanya menunduk.

"Maafkan saya sebab tak beritahu awak dari awal. Saya bukan nak memainkan hati awak. Saya cuma nak kenal awak dengan lebih dalam. Mula-mula waktu saya nampak awak, saya rasa awak ni macam budak-budak sebab asyik menangis. Saya selalu nampak awak menangis dekat taman tapi lepas saya dah kenal awak, saya tahu awak bukan macam tu. Awak mempunyai hati yang kental. Saya faham luka yang dihadapi awak. Kita sama-sama kehilangan orang yang tersayang."

Aku hanya membatu. Budak-budak kau kata? Huh!

"Zia.." tanganku digenggamnya."Petang tu saya tunggu awak lama. Saya berdebar sebab nak jumpa awak tapi awak tak muncul. Hati saya hancur apabila umi saya cakap nak batalkan perkahwinan ni tapi saya tetap  tunggu awak walaupun saya hanya boleh perhatikan awak dari jauh."

"Sudahlah Wafiy, benda dah lama. Tak perlu diungkit." suara aku akhirnya. Dapat aku lihat senyuman di wajahnya.

"Haaa keluar pun suara, ingat ada jongkong emas satu gram dalam mulut tu." Aku menjelingnya. Buat lawak apa entah. Kalau ada, dah lama aku jual.

"Saya ada satu benda nak bagi dekat awak." Aku menjongket kening tatkala melihat dia mengeluarkan sesuatu dari poket Baju Melayunya.

"Nah." hulurnya.

"Apa ni?" Tanpa banyak bicara, dia meletakkan kertas itu di tanganku. Ini bukannya.....

"Mulai saat ini, tolong jangan hilangkan lagi gambar ni. Pastikan wajah ni sentiasa terpahat dalam hati awak sebab orang dalam gambar ni sekarang dah jadi suami awak." Aku mencebik. Patutlah satu taman aku cari tak jumpa, rupanya mamat ni yang ambil. Aku melihat gambar itu lama. Kalaulah dulu aku terdetik untuk melihat gambar ini, pasti keadaan tidak seperti sekarang. Teruknya aku dulu.

"Wah cantiknya pelangi tu, sayang." ujarnya tiba-tiba.

Aku mengerutkan dahi. "Apa awak panggil tadi?"

"Sayang. Kenapa tak boleh ke?" Aku hanya diam. Malas layan. Tiba-tiba bahuku dipeluknya.

"Zia..mulai sekarang izinkan saya jadi pelangi dalam hidup awak. Saya nak corakkan hari-hari awak dengan warna yang indah supaya kenangan pahit yang dahulu dapat awak lupakan. Izinkan saya mengusap air mata awak supaya awak tahu yang awak tidak kesunyian lagi. Izinkan saya menggenggam tangan awak selalu supaya saya dapat salurkan kekuatan dalam diri awak. Tolong jangan menangis lagi, sebab menangis tak baik untuk kesihatan."

Tergelak aku saat mendengar bicara akhirnya. Tak habis-habis dengan tagline dia tu. Yelah, suka hati awaklah encik pelangi. Aku senyum. Dapat aku rasakan bunga-bunga bahagia yang semakin menular dalam hati. Namun aku tetap perlu berjaga-jaga. Kehidupan tidak selamanya bahagia.Pasti ada deritanya tapi aku tidak gentar lagi kerana aku sudah memilikinya, pelindungku. Terima kasih papa, terima kasih mama untuk hadiah yang terindah ini. Aku Zia Anara dan ini kisahku.

Tuesday, August 25, 2015

Cerpen : Lelaki Ini




LANGKAH dihentikan. Tudung yang sudah kusut aku tarik sedikit ke belakang. Panas. Itulah status cuaca hari ini. Namun selagi ada kudrat, selagi ada tulang empat kerat ini, aku tidak akan pernah berhenti. Aku tidak akan berputus asa. Aku berjalan mendekati seseorang setelah kelibatnya kelihatan.

"Amboi, sedapnya minum air..." ujarku sambil memulas telinganya.

"Argh..argh...sakitlah kak!" adu Hakim.

"Apa sakit-sakit? Orang suruh edar risalah bukannya duduk bertinggung minum air dekat sini. Dahlah tak ajak sekali!" Aku bercekak pingggang. Masam mencuka mukaku. Kurang asam punya adik. Aku punyalah panas berjalan sana sini. Dia pula boleh berhenti rehat dan minum dekat sini. Depan bengkel kereta pula tu. Tak ada port lagi comel ke?

"Orang penatlah. Dahaga pula tu. Akak bukan nak sponsor air pun." Laju mulut itu membalas.

"Ewah sedap kau suruh akak taja air. Ingat orang duta Spritzer ke apa? Dahlah jom balik." Bahu Hakim aku pegang dan menolaknya dari belakang. Kalau nak tunggu dia jalan sendiri, dengan keadaan jasad yang tidak bermaya ni, hmmm alamatnya esok pagi aku nak keluar rumah pun dia tak sampai lagi. Berat tulang betul.

"Dah habis dah semua?" soal ayah tatkala kaki melangkah masuk rumah. Aku merebahkan badan di sofa. Hakim? Karpet di lantai sudah diciumnya.

"Kina punya dah habis. Hakim punya taktaulah pula. Agaknya dia dah telan semua risalah tu." ujarku.

Ayah hanya tersenyum. Kepala aku, ayah usap perlahan. "Kesian anak-anak ayah ni, nampak penat semua." Aku senyum. Untuk ayah, apa-apapun sanggup aku lakukan.

"Ayah dah masak, pergilah makan dekat dapur."

Sebut saja soal makanan, luas mata Hakim melihat bumi. Kau tidur-tidur ayam rupanya. Berdesup dia bangun ke dapur. "Hoi, tunggu akak lah!" Ini lagi kurang asam. Nak melantak pun sorang-sorang, mana pernah nak ajak orang. Hish!


JELINGAN di sebelah tidak aku hiraukan. Aku terus menyalin nota-nota yang tercatat di papan tulis dengan segera. Laju tanganku bergerak. Kena salin cepat sebelum bom atom Hiroshima di sebelah ni meletup.

"Siap!" Aku terus menutup buku dan menyimpan pen. Tiba-tiba tanganku ditarik. "Woi, apa tarik-tarik tangan orang ni? Putus kang, kau boleh sambung balik ke?" marahku. Marah-marah manja saja.

"Peduli apa aku. Kalau putus, aku hantarlah pergi tukang jahit suruh jahit balik. Senang cerita."

Bulat mata aku mendengar. "Amboi mudahnya kau cakap? Kau ingat aku ni anak patung bulu kapas ke senang-senang saja kau nak suruh jahit sana sini. Hei, I'm human you know." Haaa tak tersemena-mena terkeluar bahasa Eropah pula. Wajah cemberut Fyra aku pandang.

"Kau tak payah nak muncung sangat mengalahkan penyangkut baju. Dahlah, silakan tuan puteri." Aku membuka pintu dewan kuliah, memberi peluang untuk Fyra lalu. Dia ni kalau lapar, tak menyempat-nyempat. Dah terketar-ketar dari dalam kelas lagi.

"Ini semua salah kau lah!" ujar Fyra menyalahkan aku. Terangkat kening aku sebelah.

"Apahal pula salah aku?"

"Kau la lambat macam siput sangat. Tengok dah ramai orang. Habislah karipap kegemaran aku tu."

Aku rasa macam nak sekeh-sekeh kepala si Fyra ni. Sanggup dia marah aku hanya kerana sebiji karipap. Deyy! Setakat karipap inti sardin tu malam ni pun aku boleh tolong buatkan untuk kaulah. Ini tidak, sampai hati kau menduakan aku dengan karipap. Cis!

"Weh, ni Nurul Sakina la. Kau nak karipap kan? Meh aku tolong dapatkan." Tangan Fyra aku pegang dan tariknya ikut langkahku. Orang ramai di sekeliling tidak aku pedulikan. Aku main redah saja semuanya. Yang penting perut Fyra yang tengah mendondang sayang ni dapat diisi. Barulah tak pok-pek pok-pek mulut dia marah aku.

Sibuk sangat nak mencelah sana dan sini sehingga aku tidak perasan akan seseorang yang sedang melintasiku. Tidak sempat aku masukkan brek pada kakiku, bahu kami berlanggar dan yang paling seronok air kopi ais di tangan dia terus tertumpah pada baju aku akibat getaran dari pelanggaran itu. Air kopi kot! Baju aku dahlah warna putih. Sengsaranya.

"Woi, buta ke? Mata kau letak mana?" Sapa satu suara yang agak mendesingkan telingaku. Muka, aku angkat.

"Eh perempuan, kau dah kenapa main langgar orang sesuka hati?" soal lelaki itu lagi. Weh! bahasa dia betul-betul buat aku rasa macam nak nangis. Tambah-tambah lagi apabila banyak mata yang sedang melihat. Aci tak kalau aku buat-buat pengsan dekat sini? Nanti mesti lelaki ni kesian dekat aku. Lepas tu tak jadi nak marah aku. Ya, bernas juga idea aku. Okey cepat Kina, buat-buat pengsan sekarang.

Belum sempat aku mahu melemahkan badanku, Fyra di belakang menegur. "Kina, apa kita nak buat ni? Takut aku tengok muka lelaki tu. Dah macam perogol bersiri tapi hensemlah juga hihi."

Kali ini aku bukan setakat nak sekeh tapi aku nak belasah cukup-cukup si Fyra ni. Dahlah potong stim lakonan aku, sekarang dia nak bergosip pula. Eh geram pula aku.

Bunyi hentakan cawan pada meja memeranjatkan aku. Terkejut mak oi! Kenapa dengan lelaki ni? Air kopi dua ringgit tumpah pun nak angin macam King Kong. Yang dia tumpahkan kopi atas baju aku tu tak apa pula. Tak ada pun aku nak lempar piring dekat dinding. Telenovela sangat!

"Kau bisu ke sampai tak boleh jawab soalan aku yang mudah tu?" soal dia lagi dan lagi. Banyak betul soalan dia. Itulah siapa suruh tak jawab.

"Tak bisu pun. Ni aku tengah bercakaplah!" Jerit aku kuat. Dah alang-alang semua orang dekat kafe ni dah pandang, biar satu universiti pula datang tengok sekali.

"Habis tu, yang kau diam tadi dah kenapa?" Menyinga lelaki itu menyoal. Bosan betul aku. Tak penat ke jegil mata tu lama-lama? Putus urat kang.

Aku senyum. Timbul satu idea di fikiranku. "Eh apa tu?!!" Tuju aku. Semua orang melihat termasuklah mamat tu. Saat semua orang tengah sibuk mencari, aku cepat-cepat pegang tangan Fyra dan apa lagi? Cabutlah! Padan muka semua orang tertipu. Peace no war sikit.


SUHU aku tingkatkan. Biar bagi panas sedikit. Setelah sudah agak panas, aku angkat setrika lalu menggosok pakaian yang berkedut itu. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Selang dua tiga minit, siap! Hmm hebat betul hasil tangan Nurul Sakina ni. Buat benda apa pun tetap menjadi. Ceh, rasa macam nak muntah pula bila puji diri sendiri.

"Beb, aku masih tak boleh lupalah apa yang jadi pagi tadi. Bila aku pejam aku nampak mamat tu. Bila aku celik, aku teringat mamat tu. Ish tak boleh jadi ni." suara Fyra dari belakang.

Aku senyum. "Haaa jangan-jangan kau dah tangkap cintan dengan dia. Cinta pandang pertama katakan." Kening aku angkat sebelah.

"Ish mana ada la. Bukan yang tu. Maksud aku, aku masih tak boleh lupa apa yang jadi antara kau dengan dia. Muka dia paling aku tak boleh lupa. Kau pun satu hal. Tengah dia duk marah-marah, boleh pula kau cabut lari. Ajak aku sekali pula tu."

"Habis tu kau nak aku tinggal kau, biar mereput dekat situlah? Okey, boleh je kalau aku nak buat." Pakaian yang seterusnya aku ambil lalu digosok.

"Eh kau janganlah buat macamtu. Tak ada la, aku ingat dia nak bawa kita pergi jabatan disiplin ke apa tadi. Takutlah aku."

Tertawa kecil aku mendengar kata-kata Fyra. "Takkanlah sebab terlanggar sikit pun sampai nak mengadu dekat jabatan disiplin. Merepeklah kau ni. Kalau ya pun dia nak buat, apa ingat aku takut ke? Aku turut jadi mangsa tau," balasku. Nasib baiklah ayah aku ada kedai dobi sendiri. Bolehlah aku nak menyental kotoran-kotoran degil yang dah terkena pada baju aku tu. Jimat sikit.

"Eleh, tak takut konon. Kalau tak takut kenapa kau diam je bila mamat tu tanya? Kesian dia tau cakap sorang-sorang. Tadi sipi-sipi je lagi aku nak tolong jawabkan."

Aku mencebik. "Lutut sendiri pun nak longgar, ada hati nak jawab." Fyra menayang sengih.

"Hmmm ni semua salah aku. Kalau aku tak desak kau, mesti kau takkan tergesa-gesa nak dapatkan karipap tu. Ini semua salah aku!" ujar Fyra. Dah macam nak nangis saja aku tengok. Haih nasib kau la Kina dapat kawan perangai kanak-kanak macam ni. Tapi bukan masa kena marah tadi aku pun rasa nak nangis ke? Argh lantaklah.

Setrika aku letak di tepi. "Alah, tak ada apa pun la. Benda kecil je. Kau tak payah nak salahkan diri kau. Tak ada sapa pun yang salah." pujukku.

"Tapi nanti kalau kau terjumpa balik mamat tu macam mana?"

Jumpa? Yelah, kenapalah aku tak terfikir pun benda tu. Tapi aku tak pernah nampak pun mamat tu sebelum ni. Alah biarlah kalau jumpa pun. Dia nak hentak cawan ke, baling pisau ke, apa aku kisah? Aku balaslah balik. Ingat senang ke nak kalahkan Nurul Sakina. Tengok bapak dia la. Huh!


BUKU-BUKU yang berselerak aku ambil dan susun dengan kemas. Kemudian aku masukkan kesemuanya ke dalam beg. Begitu juga dengan kotak pensel.

"Aku balik dulu," ujarku.

Fyra yang sedang khusyuk membuat kerja mendongak, "Weh janganlah pergi lagi. Tunggulah aku siapkan kejap."

"Aku nak kena cepat ni. Balik ni aku nak kena tolong ayah aku dekat dobi. Tak termasuk lagi aku kena tunggu bas berjam-jam."

Fyra mengeluh. "Alah kau balik jelah dengan aku. Nanti pemandu aku datang, kita baliklah sama-sama. Boleh eh?"

"Ish tak naklah, aku segan. Kau baliklah dengan pemandu kau tu. Aku dah biasa naik bas." balasku. Tak sanggup aku nak jadi mem besar. Tiba-tiba naik kereta siap ada pemandu. Orang kaya tak apalah. Aku tak kaya tapi in shaa Allah akan datang. Hee

Fyra muncung. Tanda protes sebab aku tak nak dengar cakap dia. Alah nanti aku belanja karipap, eloklah tu nanti. Macam tak biasa. Baru aku mahu buka langkah, tiba-tiba tanganku ditarik.

"Tunduk Kina, tunduk." Arah Fyra sambil menolak kepala aku ke bawah.

"Eh apahal kau ni? Rosaklah tudung aku." Pantang tokwan tokki aku kalau ada orang main sentuh-sentuh tudung ni. Mulalah aku nak buka langkah silat nanti.

"Nanti dia nampak kaulah." ujar Fyra. "Siapa dia?" Aku pandang kawasan sekeliling pusat pelajar itu tapi tiada siapa pun yang mencurigakan. Lagipun apa salahnya kalau orang pandang aku. Dah lawa, orang tengoklah. Eh?

"Mamat yang marah kau haritu la. Dia ada dekat situ."

"Mana?"  Aku pandang ke arah tempat yang ditunjuk Fyra. Ya, memang benar lelaki tu. Dia pelajar dekat sini juga rupanya. Tapi tak pernah kenal pun? Hmm pelajar baru kot.

"Tapi kawan dekat sebelah dia tu bukan Amir ke, budak kelas kita tu? Macam mana mereka kenal? Entah-entah abang dia ke apa." suara Fyra.

Iyelah, betul cakap Fyra. Macam mana si Amir tu boleh kenal mamat tu pula? Nampak macam rapat semacam saja. Abang dia ke? Tak mungkinlah. Mamat tu hensem tapi Amir...emm bolehlah. Heh aku cakap bolehlah okey bukannya hodoh. Jangan salah faham okey.

"Habislah kau, Kina."

"Habis apa?"

"Amir dah jadi sekutu mamat tu la."

Aku menggeleng. Sekutu apa bendalah. Macam nak pergi berperang. Lantaklah. Tapi siapa mamat tu dan macam mana Amir boleh kenal dia? Amat mencurigakan.


"MASUK!" laungku tatkala kedengaran pintu bilik diketuk.

"Kak Kina..." Aku menoleh ke belakang melihat Dania yang berdiri di pintu. Apa pulalah yang si kecil ni buat dekat sini. Aku senyum,

"Ya, ada apa Nia?"

Dania memanjat katil dan duduk di sisiku. Di tangannya terdapat sebuah buku. Aku mengemas sedikit nota-nota yang berselerak di atas katil. Memberi ruang kepada Dania supaya dapat duduk dengan selesa.

"Nia nak tunjuk lukisan yang Nia lukis dekat sekolah tadi." Dania membuka buku lukisannya. Dalam lukisan itu terdapat lima orang, dua lelaki dan tiga perempuan. Aku tahu Dania melukis gambar keluarga kami.

"Akak...Tak elokkan lukisan ni? Nia tak tahu muka ibu," luah Dania. Aku pandangnya dari sisi. Kesian Dania. Aku usap kepalanya perlahan. Aku bangun dari dudukku dan kembali semula kepada Dania dengan sebuah bingkai gambar.

"Kenapa pula Nia tak tahu muka ibu? Kan akak pernah tunjuk gambar ni." Aku lihat Dania mengeluh. Rasa simpatiku tumpah padanya.

"Beruntungnya akak dengan abang Hakim dapat bergambar dekat ibu. Nia langsung tak ada gambar dengan ibu. Nia sedih, kawan-kawan dekat sekolah semua ada ibu. Nia sorang saja yang tak ada." luah Dania lagi.

"Nia, walaupun ibu tak ada depan mata kita tapi ibu sentiasa ada di hati kita. Akak nak Nia tahu, walau sejauh manapun jarak kita dengan ibu, ibu tetap selalu ada dan sayangkan kita. Nia selalu tak doakan ibu macam yang akak suruh?"

Dania tersenyum lalu mengangguk. "Mestilah. Setiap hari mesti Nia doakan ibu. Walaupun Nia tak pernah jumpa ibu, Nia nak ibu tahu yang Nia tetap sayangkan ibu . Tapi cinta Nia pada ibu tak dapat menandingi cinta Allah pada ibu. Sebab tu ibu pergi dulu, kan akak?"

Aku pandang Dania lama. Adik akak dah besar. Sebesar mana Dania, selama itulah ibu telah meninggalkan kami. Pesan ibu masih terngiang-ngiang di telingaku. Seperti baru kelmarin ibu meninggalkan kami.

"Kina..." panggil ibu. "Ya ibu." jawabku.

"Jan...janji dengan ibu."

"Janji apa?"

"Jaga adik-adik dengan baik. Jadi...kakak yang baik, ya?"

Lamunanku terbang tatkala Dania memelukku. "Akak, Nia masuk tidur dulu ya. Nia nak pergi dating dengan ibu. Bye!" Lambai Dania sebelum menutup pintu.

Dania membesar dengan baik dan sihat. Ibu mesti bangga. Ya, Kina janji, Kina akan jaga adik-adik dengan baik, ibu.


SUASANA dewan kuliah sunyi sepi. Hanya suara pensyarah di hadapan saja yang kedengaran. Semua pelajar memberi perhatian kecuali yang tengah tidur siap berdengkur ni. Orang datang nak belajar, dia nak tidur pula. Ceh.

"Baik, untuk tugasan yang seterusnya saya nak kamu buat dalam berkumpulan. Setiap kumpulan ada tiga orang ahli dan saya dah tetapkan semuanya." ujar Prof.Yusof. Aku dengar dengan sebaik mungkin. Prof.Yusof ni suka sangat bagi tugasan dalam kumpulan dan setiap kali tu mesti aku akan satu kumpulan dengan makcik yang dekat sebelah ni. Fyra yang tengah terbongkang di sisi aku pandang. Aku menggeleng. Contoh pelajar terbaik katakan.

"Kumpulan yang pertama, ahlinya ialah Zafyra Akma, Nurul Sakina dan Rayyan Fiqry."

Panjang leherku tatkala nama aku disebut. Eh kejap aku kumpulan dengan siapa tadi? Rasanya ada nama aku, Fyra dan....

"Mana ahli kumpulan ni?" soal Prof. Yusof

"Saya, Prof." ujar satu suara. Macam pernah aku dengar suara tu tapi dekat mana ya? Aku toleh ke belakang. Bulat mataku melihat. Alamak, matilah aku. Fyra, bangun!


"INI semua salah kau!" ujar Fyra marah. Muka, aku angkat. "Apahal pula salah aku?"

"Memang salah kau pun. Kalau tak kerana kau memaksa, aku tak akan ambil engineering course ni dan kalau aku tak ambil engineering, aku tak akan jumpa mamat singa tu." jawab Fyra.

Terlopong aku sebentar. "Amboi-amboi sedapnya kau salahkan aku. Kau cakap kejap masa bila aku paksa? Eh kau sendiri tau yang isi borang tanpa pengetahuan aku. Lepastu nak cakap aku paksa kau pula. Boleh jalanlah." Geram pula aku. Ikut suka hati jantung buah pinggang makcik ni saja nak tuduh-tuduh aku yang baik ni.

Aku lihat Fyra meraup-raup mukanya. Selekeh betul dia hari ni. "Argh lantaklah. Yang penting, macam mana sekarang ni?" soalnya.

"Macam mana apa?" soal aku balik.

"Ish kau ni slow lah. Kau sedar tak lepas ni tiap-tiap hari kita kena hadap muka mamat singa tu atau nama sebenar dia Rayyan Fiqry apa ke benda entah. Macam mana ni weh? Tak sanggup aku. Boleh makan dalam kalau tiap-tiap hari aku pandang muka garang dia tu. Kau tak nampak ke macam mana dia jeling kau masa dalam kelas tadi? Aduh menusuk weh!"

Keluhan aku lepaskan. Betullah apa yang Fyra cakap tu. Entah apa dosa aku sampai kena satu kumpulan dengan dia pula. Kenapalah dalam banyak-banyak jurusan, dia nak juga satu jurusan dengan aku. Kelas sama dengan aku, sekarang satu kumpulan pula tu. Aduh, ana pening, pening!


KERUSI aku tarik lalu segera melabuhkan punggung. Fyra turut mengambil tempat duduk di sisiku. Aku angkat tangan untuk membaca doa. Selesai membaca doa, aku terus mencapai sudu dan garfu. Lepastu apa lagi, makanlah. Aku tarik pinggan yang berisi mi mamak kaw-kaw di atas meja.

"Nah!" Belum sempat aku menyuap mi, satu fail dilempar betul-betul di hadapanku. Nasib baik tak masuk dalam pinggan mi mamak kaw-kaw aku ni. Kalau tidak, kempunanlah aku.

Aku pandang dengan geram insan yang berdiri terpacak di hadapan aku saat ini. "Apa ni?" soalku melirik kepada fail yang baru dilempar tadi.

"Fail." jawabnya sepatah.

Aku mendengus geram. "Aku tahulah fail. Aku pun pergi tadika juga dulu." Fyra yang di sebelah tergelak, Tergelak sebab lawak aku atau pun lawak mamat ni, aku sendiri kurang pasti.

"Semua bahagian aku dah siap. Tinggal nak kumpul dan taip balik saja. Kau pandai-pandai sendirilah buat." Belum sempat aku berkata apa-apa, dia sudah berlalu pergi. Eee geramnya aku dengan singa ni. Suka-suka hati dia saja nak datang, kemudian suka-suka hati dia saja nak pergi. Aku tak habis cakap lagilah woi!

"Fuyoo Kina. Kau cuba tengok hasil kerja dia. Lengkap gila." Entah bila pula fail itu berada di tangan Fyra. Biarlah, yang penting aku nak sambung makan. Asid di dalam perut sudah menggelegak.

"Weh Kina, agak-agak dia guna gear berapa ya? Cepat betul dia siapkan kerja. Aku sendiri tak buat apa-apa lagi."

"Entahlah, aku rasa dia kawan baik dengan Fernando Alonso. Alah pemandu Formula One tu," jawabku selamba.

"Betul ke? Kenapa aku tak pernah nampak dia dekat televisyen pun?" soal Fyra lurus.

Aku hanya menggeleng. Kenapalah otak kawan aku ni lambat sangat proses? Agak-agak kalau aku cakap mamat tu sepupu belah nenek tiri Brad Pitt pun dia percaya rasanya.


BAJU-BAJU di dalam raga aku ambil lalu memasukkannya satu persatu ke dalam mesin basuh. Setelah selesai, aku tekan butang 'on'. Kena tunggu beberapa minit, kemudian keringkan.

"Kina, jom ikut ayah." panggil ayah.

"Pergi mana?"

"Pergi hantar baju."

Aku membontoti ayah. "Eh bukan selalu pelanggan datang ambil sendiri ke?'

"Iye tapi ini pelanggan istimewa." jawab ayah.

Istimewa? Apa pula yang istimewanya? Malas banyak soal lagi, aku hanya mengikut langkah ayah. Sempat aku berpesan kepada Hakim suruh keringkan baju yang baru aku basuh tadi.

Teragak-agak kaki aku mahu melangkah turun dari van. "Betul ke rumah ni ayah?" tanyaku sekali lagi untuk memastikan.

"Berdasarkan alamat yang ditulis, betullah rumah ni," jawab ayah.

Aku buka pintu belakang lalu mengambil baju yang tersangkut. Aku mendongak ke atas memandang rumah banglo yang tersergam indah itu. Ini rumah ke istana? Besar gila. Kalau main sorok-sorok ni, mesti tiga hari tiga malam terbaring sebab penat cari.

"Datin Marissa." Aku membaca nama yang terlekat pada plastik baju. Patutlah ayah kata istimewa, orang ternama rupanya. Air liur aku telan. Entah kenapa rasa macam tak sedap hati pula. Pagar aku hampiri, lalu menekan loceng yang tersedia. Setelah beberapa kali loceng aku tekan, pintu pagar yang besar itu pun terbuka. Aku melangkah masuk dengan tenang.

Tadi kena tekan loceng dekat pagar, sekarang kena tekan loceng dekat pintu pula. Haih payah betul jadi orang kaya ni. Setelah loceng aku tekan, pintu pun dibuka dari dalam.

"Ya, ada apa neng?" Sekali keluar bibik Indon pula.

"Err..saya nak hantar baju."

"Untuk siapa, ya?" soal bibik itu lagi.

"Datin Marissa." Aku senyum tapi senyum aku mati tatkala seseorang yang lain muncul di muka pintu.

"Siapa tu bik?"

"Non ni bilang mahu hantar baju untuk Datin Mar."

"Baju?" Lelaki itu menoleh memandang aku.

Tolonglah jangan buat muka terkejut tu. Kalau kau terkejut, aku lagi berlipat kali ganda terkejut tau. Ayah, tolong Kina!


AKU menahan rasa marah di hati. Geram melihat manusia di hadapan aku ini. Rasa macam nak benam saja kepala dia dalam air. Angkat, lepastu rendam balik. Asyik kena ikut cakap dia saja. Huh!

"Idea aku dah cukup bagus ni, ikut sajalah." ujar singa itu atau orang sini selalu panggil dia Fiq.

"Mana boleh macam tu. Ini kerja berkumpulan tau. Tak boleh asyik kena iku cakap kau je," balasku geram.

"Aku dah penat-penat buat, korang cuma perlu ikut saja."

Aku mengerling Fyra yang hanya diam di sisi. Entah bahasa apa lagi yang perlu aku cakap dekat dia ni. "Habis tu nanti semua markah dapat dekat kau soranglah? Mana boleh, melampau gila!"

"Kau sendiri cakap ini kerja berkumpulan. Mestilah semua dapat. Itu pun tak reti fikir. Kau patut bersyukur aku dah banyak tolong. Bukannya banyak soal macam ni." Dia menjeling aku.

Hish sabar sajalah aku dengan dia ni. Asyik nak ikut kepala otak dia saja. Dahlah selalu lari dari perbincangan. Lepas tu suka paksa-paksa orang. Eeee meluat betul aku!

"Ikut sajalah kalau kau rasa nak dapat markah tinggi. Kalau tidak, hmm isilah borang keluar ya. Entah mampu ke tidak ayah kau nak tanggung kau nanti." ujar Fiq sambil senyum sinis.

Bulat mata aku mendengar bicaranya. Apa ni main sebut-sebut nama ayah? Weh ini sudah kes menghina. Tak boleh sabar dah aku. Baru saja aku mahu membuka mulut, Amir datang menyapa.

"Woo apa bising-bising ni? Dari jauh lagi aku boleh dengar. Korang berbincang ke bergaduh?"

"Kau diam!" ujar kami berdua serentak. Aku jeling Fiq. Sibuk saja nak tiru apa orang cakap.

"Sorry, sorry. Kina aku datang sini cuma nak ajak sepupu aku ni teman aku saja. Boleh tak aku nak pinjam dia untuk hari ni?"

Sepupu? Oh sepupu dia rupanya. Patutlah kamceng semacam saja. Tapi kenapalah sikap mereka berdua ni bagai langit dengan bumi. Yang si Amir punyalah berbudi bahasa tapi si Fiq ni hmm..sikit-sikit nak mengaum. Aum! Aum!

"Baguslah kau datang. Aku memang nak blah pun dari sini. Sakit hati aku duduk dekat sini lama-lama."

Aku mencebik. Haaa pergilah, pergi. Ingat aku suka sangatlah kau ada dekat sini? Kalau kau sakit hati, aku pula dah sakit jiwa, lemah jantung semua ada bila kau ada di sini. Nasib baiklah kau cepat berambus. Aman hidup aku.

"Kina, jomlah balik." suara Fyra yang hanya diam sedari tadi. Aku hanya mengangguk. Berakhirlah sudah 'perbincangan' kami ini.


PINTU almari aku buka. Baju-baju yang telah siap digosok aku letak di dalamnya. Sedang sibuk aku membuat kerja, ayah datang menyapa.

"Kina, tengok-tengokkan kedai ya? Ayah nak keluar sekejap," pesan ayah.

"Okey," balasku.

Beberapa minit selepas ayah keluar, kedengaran pintu kedai ditolak. Aku ke hadapan untuk melihat.
Pelanggan yang langsung tidak diundang rupanya.

"Nak apa?" soalku tanpa secebis pun senyuman.

"Aku nak hantar baju." Aku lihat hari ini Fiq segak dengan t-shirt merah dan seluar jeans. Nampak santai saja. Alah orang kacak, pakai apa pun nampak segak.

"Hoi kau mengelamun apa? Nak kerja buatlah cara kerja." tegur Fiq. Aku berdehem beberapa kali. Kantoi pula dah. Itulah siapa suruh hensem sangat hari ni.

"Bak la baju tu." Aku ambil beg kertas yang dihulur Fiq. Sempat dia berpesan suruh aku basuh elok-elok. Katanya baju tu mahal. Beli dari luar negara katakan. Eleh, berlagak gila. Aku sodok dahi kang!

"Dah lama ke ayah kau buka kedai dobi ni?" soalnya tiba-tiba. Eh ingatkan dah pergi. Sibuk nak temu ramah aku pula dah. Cukuplah dekat universiti saja kami gaduh. Jangan dekat sini pula.

"Lama la juga, sejak ibu meninggal." jawabku.

"Kau tak ada mak?" Aku menjelingnya. Nak tanya tu biar lengkap sikit soalan tu ya.

"Aku ada la mak. Kalau tak macam mana aku boleh lahir," mendatar saja suaraku. Suka-suka hati saja nak kata aku tak ada mak. Aku ada mak la, cuma dah meninggal.

"Samalah tu." balasnya. Tak sama langsung okey. Asyik nak menang dekat dia saja.

"Hai Kak Kina, Nia dah balik." sapa Dania ceria. Aku ambil beg di tangan Dania dan letakkannya di tepi. Si kecil dah balik sekolah. Wajah penat Dania aku pandang.

"Akak dah beli nasi tadi, Nia pergi makan dekat belakang ya."

"Eh siapa abang hensem ni? Hai abang." tanpa menghiraukan arahanku, Dania mendekati Fiq. Amboi kecil-kecil lagi dah pandai adik aku ni. Pantang nampak orang hensem, cepat saja dia.

"Hai, nama adik Dania ya?" Dania mengangguk laju.

"Abang ni siapa? Kawan Kak Kina eh?"

"Nama abang Fiq. Abang bukan kawan dia, abang datang sini cuma nak hantar baju je." Ceh, bukan kawan aku. Iyelah, memangnya siapa yang sudi nak jadi kawan kau? Aku pun tak hinginlah. Puihh!

Sebelum Fiq beransur pulang, sempat Dania meminta nombor telefonnya. Weh aku sendiri pun tak pernah ada, adik aku sendiri pula dapat. Eh yang aku sibuk sangat ni kenapa? Biarlah. Dah jadi kawan pula mereka dua. Suka hatilah, janji kau jaga hati adik aku ya Rayyan Fiqry. Kalau tak, aku sumbat kau masuk mesin basuh ayah aku ni. Hmm!


AKU meneguk air mineral yang baru dibeli dengan rakus. Dahaga yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Lega rasanya lepas minum. Fuhh! Kelas yang penuh dari pagi sehingga petang benar-benar memenatkan. Letih mata ni tak payah cakap. Sikit saja lagi nak tersengguk dalam kelas. Sekarang kena jalan kaki pergi tungu bas pula. Haih sabarlah wahai diri. Saat aku melintasi satu lorong yang kecil, kedengaran seperti suara orang menengking. Segera aku pergi melihatnya.

"Cepat serahkan dompet dan telefon kau kalau kau nak selamat!!"

Aku menutup mulut. Terkejut dengan situasi itu. Ada orang nak kena rompaklah. Aduh macam mana ni? Apa patut aku buat? Tiba-tiba aku terpandang sesuatu. Timbul satu idea di fikiranku.

"Kau degil ya? Nampaknya ajal kau dah semakin dekat." Pisau lipat dikeluarkan dari poket belakang. Perompak itu mendekati bakal mangsanya.

"Hiiiiiyargh!" Aku berlari ke arah perompak itu lalu memukul belakangnya dengan sebatang kayu yang sempat aku kutip sebentar tadi. Jatuh terjelopok terus dia.

"Haaa padan muka kau. Rasakan!" ujarku puas. Lembik rupanya dia ni.

"Kina?" suara seseorang.

Aku pandang ke hadapan. "Fiq?"

"Kau buat apa dekat sini?" soalnya.

Aku tergamam. Tidak tahu mahu jawab apa. Sebenarnya apa yang tengah aku buat ni? Rasanya aku tengah tolong orang dari kena rompak dan orang itu ialah Fiq. Ternyata Fiq ialah orang yang nak kena rompak tu dan aku tengah menolongnya?

"Aku...aku...."

"Kina, jaga-jaga!"

Aku toleh ke belakang dan melihat perompak itu sedang mendekatiku dengan pisaunya. Hidup lagi rupanya dia ni. Ingatkan dah wassalam tadi. Saat perompak itu mengacukan pisau padaku, aku segera menendang perutnya dan menumbuk mukanya. Pada saat itu, aku mengambil peluang untuk mengilas tangannya ke belakang dan membuang pisau dari tangannya. Tapi tenagaku sebagai wanita pastinya tidak mampu menandingi kekuatannya. Dia menolak aku. Fiq segera membantu aku untuk bangun.

Aku memegang tangan Fiq yang berlapik. Perompak itu bangun semula dengan pisau di tangan.

"Satu..." kira aku perlahan.

"Kau nak buat apa ni?" bisikan Fiq tidak aku hiraukan.

Saat perompak itu mendekatiku selangkah, aku mengundur setapak. Makin dia maju, makin aku undur.

"Dua..."

Dapat aku lihat muka marah dan bengis perompak itu. Dia semakin menghampiri. Aku pula semakin mengundur dan...

"Tiga. Cabut!!!!" Aku segera menarik tangan Fiq yang sedia aku pegang, kemudian melarikan diri. Dengan sepenuh tenaga dan kudrat yang ada, aku berlari laju keluar dari lorong sepi itu.  Tangan aku masih memegang tangan Fiq. Nasib baik dia ni laju juga lari. Kami segera ke tempat yang terbuka dan lebih ramai orang. Nasib kami baik kerana perompak itu tidak terus mengejar kami. Dia dah penat agaknya.

Larian dihentikan. Aku melepaskan tangan Fiq. Tercungap-cungap aku di tepi jalan. Penat yang tidak dapat dijelaskan. Memang kerja gila betul apa yang aku dah buat hari ni. Tolong orang kena rompak? Tak pernah dibuat seumur hidupku.

"Apa masalah kau sebenarnya? Kau dah gila ke?!" tengking Fiq tiba-tiba. Muka, aku angkat. Terkejut mendengar tengkingannya. Penat berlari pun tak habis lagi, tiba-tiba kena marah pula.

"Apa maksud kau?" dengan nafas yang tercungap-tercungap aku bertanya.

"Kau memang selalu macam ni ke? Ada masalah saja, terus lari. Yang kau sibuk-sibuk nak tolong aku tadi dah kenapa?"

Terkedu aku sebentar. Dia tengah marah aku ke sekarang ni? Dia sedar tak aku yang tolong selamatkan nyawa dia tadi?

"Kau cakap apa ni? Aku dah tolong kau tadi, sepatutnya kau dah bersyukur rahmat tau. Kalau aku tak tolong kau tadi, mesti kau dah......."

"Tak payahlah! Aku tak minta pun bantuan kau. Kau tak payah nak sibuk-sibuk tolong aku." Wajah garangnya aku pandang.

Sungguh aku tak tahu dah nak kata apa. Dia manusia yang paling pelik yang pernah aku jumpa. "Memanglah kau tak minta bantuan aku tapi atas dasar kemanusiaan dan masyarakat yang baik hati, aku rela bahayakan diri juga untuk tolong kau. Kau sedar tak benda tu? Aku dah tolong kau, tapi ini ke balasan yang aku dapat?!" luahku geram. Tangan aku angkat untuk menamparnya tapi tidak kesampaian. Entah kenapa rasa berat pula.

"Kina, tangan kau...." Aku menunduk memandang tanganku. Boleh dilihat baju aku yang berwarna kuning sudah bertukar menjadi warna merah. Patutlah rasa pedih semacam. Mungkin tanganku terkena pisau sewaktu berlawan dengan perompak itu tadi. Saat Fiq ingin memegang tanganku, aku menepis.

"Tak payah sentuh!" tegurku marah. Tanpa memandang wajahnya, aku terus berlalu pergi. Bukannya nak cakap terima kasih ke, thank you ke atau arigatou gozaimasu ke sebab dah tolong dia tapi lain pula yang aku dapat. Aku benci kau, Fiq!


TANGAN yang masih berbalut aku usap lembut. Luka di tangan aku sudah semakin baik tapi entah kenapa terasa seperti sakit itu berpindah pula ke hati ni. Masuk hari ini sudah tiga hari aku tak nampak Fiq. Jangan kata batang hidung, bayang pun tak nampak. Aku tanya Amir, dia sendiri pun tak tahu. Kenapa dengan dia? Ada sesuatu yang menimpa dia ke?

"Woi mengelamun apa tu?" Sergah Fyra. Aku hanya senyum nipis.

"Itulah, bila ada depan mata bercakaran. Bila dah jauh, berindu-rinduan pula."

Kening aku bertaut mendengar bicara Fyra. "Apa kau merepek ni? Bermadah di siang hari tak tentu pasal."

"Aik, tak faham ke? Atau buat-buat tak faham?" Terangkat-angkat kening Fyra.

Malas aku nak layan. Bercakaran? Kami memanglah bergaduh tapi tak ada la sampai bercakar. Rindu? Tak mungkin. Sapa nak rindu dia. Tolong la..tapi kenapa aku rasa macam kosong bila dia tak
ada...

Keadaan yang sama juga berlaku di rumah. Satu kerja apa pun tak jadi. Bila masak, nampak muka dia dalam kuali. Bila menyapu, terbayang jelingan dia dekat lantai. Nak tidur lagilah, terbawa-bawa sekali muka hensem dia dalam mimpi. Ish gila ke apa aku ni? Tak boleh! Aku tak boleh terus-terusan macam ni. Lama-lama boleh gila bayang. Aku bangun dari dudukku lalu mengatur langkah keluar dari bilik. Di ruang tamu aku nampak ayah sedang menonton televisyen sambil picit kepala. Aik tengok televisyen pun stress ke? Aku mendekati ayah.

"Ayah okey ke?" soalku.

Seperti selalu, ayah hanya tersenyum. "Tak ada apa Kina, cuma..."

"Cuma apa ayah?" soalku lagi. Ayah ni cakap main sekerat-sekerat pula dia. Saspen betul!

"Kita kena tutup kedai dobi buat sementara waktu ni."

Sebaris ayat yang keluar dari mulut ayah benar-benar mengejutkanku. "Hah? Kenapa pula nak tutup? Bisnes kita okey saja kan selama ni?"

Ayah menunduk. "Memanglah okey tapi tuan punya kedai nak jual kedai tu dekat orang lain. Jadi kita terpaksalah pindah keluar." Wajah sayu ayah aku pandang. Tak boleh. Tak boleh macam ni. Aku kena lakukan sesuatu.


"TOLONGLAH tauke, bagilah kami peluang. Nanti bila kami dah cukup duit, kami belilah kedai tauke ni. Janganlah jual lagi," rayu aku.

"Tak boleh, tak boleh. Ini kedai saya kena jual juga maa. Kalau lu olang susah, saya juga susah maa mahu bayar hutang sana sini. Saya cuma kasi tempoh tiga hari saja untuk lu olang pindah keluar okey."

Aku terdiam. Hilang modal untuk berkata-kata. Papan tanda di atas aku pandang. Nama kedai sempena nama ibu megah terpapar di situ. Ibu, ayah maafkan Kina. Sekarang Kina rasa tak berguna langsung. Maafkan Kina.


LAJU kaki aku mengatur langkah menuruni tangga. Sampai saja di bawah, wajah seseorang aku cari. "Ayah?" panggilku.

Aku pandang ayah yang tengah sibuk berperang di dapur. Tersenyum aku melihat gelagatnya. Segak ayah hari ini dengan apron bunga-bunganya. Sejak jadi penganggur sementara ni, ayah makin rajin membuat kerja-kerja rumah. Sebelum ni pun rajin juga sebenarnya. Masa ayah lebih banyak di dapur dan di halaman rumah. Setiap petang ayah akan meluangkan masa bersama pokok-pokoknya. Aku senyum. Dialah ayah, dialah ibu.

"Nak pergi dah ke?" soal ayah mematikan lamunanku.

"Ya, Kina pergi kampus dulu ya. Assalamualaikum." Tangan ayah aku salam sebelum melangkah keluar. Macam biasa, ayah akan buat flying kiss padaku dan pastinya disambut olehku. Haha

Di kampus pula, suasana kini berubah. Seratus lima puluh persen berubah. Aku tak tahu dia di mana, ke mana dia menghilang dan apa sebabnya. Yang aku tahu kini hampir tiga minggu dia menghilang. Kalau ada kerja berkumpulan pun, aku dah kumpulan dengan orang lain. Tiada lagi pertengkaran, tiada lagi perbalahan. Sekarang semuanya sudah lain.

"Kina, kau okey ke tak ni?" Aku pandang Fyra di sebelah.

"Aku okey. Stress sikit je, final exam kan tak lama lagi," bohongku.

Tiba-tiba sahaja Fyra bangun. Dia memandangku. "Kau tak payahlah nak tipu aku yang dah nak sama besar dengan anak gajah ni, boleh tak? Sekilas ikan di laut, aku dah tahu mana yang single mana yang couple. Aku tahulah kau rindu Fiq. Tak payah nak tukar terbalikkan fakta."

Aku diam. Kalau aku rindu pun, kenapa? Salah ke?


JAM di tangan aku pandang sekilas. Mana pula bas ni tak datang-datang lagi. Dah berliter-liter peluh aku keluar, tak juga nampak bayang basnya. Nak naik teksi? Tidak akan! Mau pokai aku kalau naik teksi dari sini sampai rumah. Nak berjimat sangat kan, berdirilah kau Kina dekat sini. Hari ini entah kenapa aku rasa sepi semacam. Waktu aku keluar pagi tadi ayah dah tak ada dekat rumah. Adik-adik pergi sekolah. Fyra? Hmm yang itu lagilah. Bila aku telefon, dia punya batuk-batuk tu sampai nak terkeluar kerongkong. Sakit katanya. Entah demam ke apa aku pun tak pasti. Tergesa-gesa sangat nak letak telefon. Haih

Sebut pasal telefon, tiba-tiba sahaja telefon aku berbunyi. Hakim? Aku jawab panggilannya. "Assalamualaikum, nak apa?"

"Wa'alaikumussalam. Akak...akak..." kedengaran suara tercungap-cungap Hakim di sana.

"Eh kenapa dengan kau ni, Kim?" soalku mulai risau.

"Ayah...ayah kena...tutt..tutt.."

"Ayah kena apa, Kim? Eh hello? hello?" Panggilan terputus. Apahal terputus pula pada waktu kecemasan macam ni. Ayah kenapa? Tak sempat pula si Hakim ni nak beritahu. Ini yang buat aku risau gila. Tiba-tiba satu pesanan ringkas masuk. Aku segera membacanya. Tidak boleh jadi ni. Aku cepat-cepat tahan teksi yang lalu di situ. Nak tunggu bas sampai esok subuh pun belum tentu datang.


AKU melangkah masuk dengan berhati-hati. Rasa takut dan gentar di hati sedaya upaya aku usir. Yang penting sekarang keselamatan keluarga. Ya, aku harus berani. Aku sendiri terpinga-pinga akan situasi saat ini. Keadaan sekeliling yang gelap gelita membuatkan langkahku terbatas. Aku berjalan ke arah satu ruang. Alangkah terkejutnya aku saat melihat lilin-lilin yang tersusun cantik di atas lantai. Mengiringi setiap langkahku. Apa semua ni?

Tiba-tiba aku nampak satu cahaya di segenap ruang. Cahaya itu semakin lama semakin menghampiri aku. "Ayah?" panggilku,

"Allah selamatkan kamu...Allah selamatkan kamu...Allah selamatkan Nurul Sakina...Allah selamatkan kamu."

Sungguh aku terpaku melihat insan yang berdiri di hadapan aku saat ini. Wajah yang saban hari dirindui. Kenapa dia boleh tiba-tiba muncul di sini?

"Tiuplah lilin tu." Bagaikan dipukau, aku hanya menurut. Beberapa batang lilin yang berada di atas kek, aku tiup. Keadaan menjadi gelap semula. Hanya bertemankan lilin-lilin di lantai. Walaupun keadaan agak gelap tapi aku masih mampu melihat senyuman lebarnya itu.

"Selamat hari lahir yang ke-21, Kina. Aku doakan kau panjang umur dan murah rezeki selalu." ujar Fiq masih dengan senyumannya.

"Apa..apa semua ni?" Aku masih dalam kebingungan. Petang tadi aku dapat pesanan dari Hakim suruh datang sini. Katanya ada hal penting. Sekarang bila aku dah sampai,  Fiq pula yang muncul? Pelik. Siap bawa kek lagi. Eh kejap, hari ni hari lahir aku ke?

"Kau jangan buat muka macam tu boleh tak? Aku lempar kek ni dekat muka kau baru tahu."

Aku pandang Pavlova di hadapanku. Kek cantik macam ni dia nak lempar dekat muka aku? Amboi, suka hati saja. Ingat aku nak kasi ke?

"Suka kati mak bapak kau saja kan nak main lempar-lempar. Mana kau menghilang selama ni? Aku ingat dah hilang ditelan angin. Satu perkara lagi, macam mana kau boleh ada dekat sini? Petang tadi adik aku telefon kata ayah aku..."

"Aku minta maaf, Kina." Sebaris kata dari Fiq menghentikan bicaraku.

"Aku minta maaf sebab aku dah banyak sakitkan hati kau. Aku dah banyak berkasar dekat kau..aku minta maaf sekali lagi. Aku..aku sebenarnya fobia. Aku mula bencikan perempuan sejak bekas kekasih aku tinggalkan aku. Perasaan benci aku tu makin bertambah nak-nak lagi bila aku jumpa kau. Dengan perangai kau yang kelam-kabut dan huru-hara ni lagilah aku menyampah."

Tergamam aku dibuatnya. Dia cakap apa? Menyampah?

"Tapi aku mula sedar yang aku silap. Tak semua orang sama. Walaupun perangai kau macam ni tapi kau baik. Aku betul-betul tak sangka yang kau akan tolong aku haritu. Aku ingatkan kau bencikan aku." tambah Fiq lagi.

Memang! Memang aku bencikan kau! Tapi...

"Lepas kejadian haritu, aku terlantar di hospital. Aku tak tahu kenapa. Bila aku sedar saja, aku dah ada dekat hospital. Mama aku kata aku pengsan. Aku terlalu risau fikirkan kau. Tambah-tambah lagi bila aku tahu kau cedera tapi ego aku terlalu tinggi. Aku tak nak pergi jumpa kau walaupun pada hakikatnya aku perlu ucapkan terima kasih pada kau.

Aku terdiam. Bola matanya aku pandang lama. Bagaikan ada butir-butir permata di sebaliknya. Dia menangis? Sebab aku?

"Maafkan aku, ya?" pintanya lagi.

Tiba-tiba kedengaran sesuatu bergolek di atas lantai. Aku mengecilkan mata cuba melihat apa yang berlaku."Dania?"

Dapat aku lihat Dania yang terbonggok-bonggok di lantai terus berdiri sambil tersengih. Bertaut keningku. Dania ada di sini? Satu bunyi letupan mengejutkan aku dan...

"Suprise!!!" Keadaan sekeliling terus terang-menderang disimbahi cahaya lampu. Aku pandang tempat yang agak asing itu. Wajah-wajah insan yang langsung tidak aku duga muncul.

"Ayah..Hakim...Datin Marissa pun ada sekali. Fyra, kau pun ada? Bukan kau sakit ke? Tunggu kejap, aku masih tak faham. Apa semua ni?" Bertalu-talu soalan keluar dari bibirku.

"Kina, kau tak nampak lagi ke? Kita orang tengah sambut hari lahir kau la. Takkanlah hari lahir sendiri pun dah lupa?" ujar Fyra.

"Dan kita orang juga tengah raihkan pembukaan kedai dobi kita yang baru." tambah Hakim.

Ya, baru aku ingat hari ini hari lahir aku. Aduh, macam manalah aku boleh lupa. Macam nak tepuk dahi kuat-kuat saja pakai penukul. Yang pasal kedai dobi ni pula, okey yang ini memang aku tak tahu. Aku perlukan penjelasan.

"Ayah tak pernah beritahu Kina pun pasal kedai dobi baru?"

Ayah senyum. "Ayah memang nak beritahu tapi Fiq yang tak bagi. Dia kata nak beri kejutan sikit dengan Kina. Mesti Kina seronok, kan?"

Ya..seronok sangat ayah. Pandangan aku lirikkan pada Fiq. Tersengih-sengih dari tadi. Sekeh kepala kang? Cukup suprise sangatlah tu? Nasib baik aku tak mati kejang tadi.

"Sejak bila kau jadi bestfriend ayah aku ni?"

Fiq menayang sengih. "Sejak aku jadi enemy anak dia la."


AKU turun dari van lalu mengatur langkah ke dalam kedai. "Hoi, apa lambat sangat ni? Cepatlah sikit." laungku.

"Ya, datanglah ni." Tergopoh-gopoh Fiq dan Hakim membawa baju-baju yang telah siap dibasuh keluar.

"Akak ni asyik nak cepat saja, ingat orang Superman ke?" bebel Hakim. Eh budak ni banyak songeh betul. Sekeh kang. Nasib baik adik aku.

"Haaa susun elok-elok tau. Kalau tak kemas, jagalah korang!"

Nampak tak? Bertapa berkuasanya aku kini hahaha. Semua kuasa telah ayah wariskan pada aku. Kini ayah hanya menjadi suri rumah sepenuh masa. Yang uruskan dobi? Siapa lagi, aku la. Tapi jangan risau aku tak keseorangan. Aku turut dibantu oleh dua orang bibik ni. Siapa lagi kalau bukan Fiq dan Hakim. Ingat senang ke jadi bos? Susah tau, orang putih kata busy. Mana aku nak belajar lagi, mana nak urus kedai lagi. Dengan dua orang bibik ni yang tak boleh harap langsung. Aduhai, payah! Tapi dalam masa yang sama, aku turut bersyukur. Bersyukur sebab masih ada mereka yang tersayang. Bisnes pun makin okey dan yang paling seronok haaaa....

"Kau pandai mengarah orang je kan? Apa kata kau ikut tolong sekali." ujar Fiq.

"Eh apahal pula? Aku bos tau. Banyak lagi benda yang aku nak kena uruskan." Aku mencebik padanya sambil menjeling.

"Banyaklah kau punya bos, ambil ni!" Baju-baju pelanggan yang belum dibasuh dibaling pada aku. Weh baju orang kot! Busuk pula tu! Kemudian Hakim turut sama sertai. Apa lagi, mulalah perang baju. Ingat perang bantal saja ke yang ada?

"Okey, Hakim berhenti! Nanti baju rosak!" ujarku.

"Abang Fiq jangan berhenti. Cepat baling lagi!" Teriakan Hakim kedengaran. Kurang asam! Fiq pun bukan main, gelak mengekek dia. Aku menutup muka. Takut terkena serangan baju yang dilancarkan oleh bibik-bibik itu.

Tiba-tiba terasa bahuku dicuit. Fiq?

"Nah, have a nice day!" Sempat dia mengenyit mata padaku sebelum pergi mengatur langkah ke arah Hakim yang kelihatan masih seronok bermain. Sekuntum bunga di tangan aku pandang. Bunga manalah yang dia petik  ni? Kuncup saja tapi sweet.

Beginilah rutin harian Fiq sejak hubungan kami dah kamceng ni. Dia dengan bunga, dengan ucapan manis dia memang tak lekang dari bibir. Siapa sangka lelaki yang dahulunya garang bak singa boleh berubah menjadi seorang lelaki yang alahai manisnya tidak terucap. Adakah aku beruntung? Tak juga sebab ada juga sisa-sisa perangai dia yang dahulu tertinggal.

"Kina, cepatlah! Ingat masa tu sempat ke nak tunggu kau mengelamun."

Haaa kan dah kata. Walaupun manis tapi tetap ada pedas dalam kata-katanya. "Ya, datanglah ni."

Okeylah sebelum singa tu mengaum lagi, baik aku cepat-cepat pergi. Sampai sini saja, aku Nurul Sakina dan ini kisahku.

Sunday, August 09, 2015

A war.

What a hectic week I have been through. I hope Allah will give me a strength to face all these things. Honestly, I am so weak. I can't handle all these problems alone. I need someone to stay and walk together with me to go through all these things and luckily I have them. Though my days are filled with problems, challenges and sadness but I do not mind because I will still okay as long as they still there with me. I will stand while smiling happily as long as I have them. I will never ever forget our memories, laughter, jokes and of course our craziness. You guys are the best, thank you. So please, don't go. Please stay. Let's face this war together and get success together.

Someone who loves you guys, me.