Saturday, April 04, 2015

The sky.

                   

Jujur aku kata, aku tidak dapat bayangkan andai suatu hari langit bertukar warna. Langit tidak selalu cerah. Kadangkala ia menjadi gelap dan suram. Kadangkala ia memanah kita dengan cahaya petirnya. Dan kadangkala ia menangis mengeluarkan air hujan, membasahi bumi.

Aku selalu mendongak memandang langit. Bukan bangga tapi kagum. Kagum dengan ciptaanNya. Setiap yang dicipta tidak pernah kesepian. Pasti ada yang menemani. Begitu juga langit. Langit tidak pernah kesepian. Siang ditemani matahari dan awan. Malam ditemani bulan dan bintang. Aku tidak dapat bayangkan andai suatu hari langit dipagari oleh besi. Pasti ia tidak seindah sekarang.

Aku ingin sekali mencapai langit yang tinggi. Tapi aku lupa. Aku tidak pernah jauh darinya. Tanpa sedar, ia yang sentiasa memayungi aku saat aku berdiri di atas muka bumi ini. Aku tetap berada di bawahnya walau sejauh mana pun aku berlari. Dan aku akan tetap memuji ciptaanNya yang tidak akan pernah sama dengan ciptaan manusia lain.

Seperti yang aku kata, langit tidak selalu cerah. Begitu juga dengan manusia. Hati manusia tidak selalu bahagia dan tidak akan sentiasa bahagia. Pasti ada sahaja badai yang datang. Hari ini bahagia esoknya derita. Hari seterusnya bahagia dan hari kemudiannya derita. Itulah roda kehidupan manusia. Ia akan bergerak dan terus bergerak. Jadi jangan bongkak selagi kau bergelar manusia.

Tatkala hati sedang berduka, jangan kau sangka hanya dengan luahan perasaan dan kata dorongan dari manusia mampu menyembuhkannya. Ya, mungkin juga mampu. Tapi bukan sepenuhnya. Ia tidak akan sama jika dibandingkan dengan luahan kau pada Dia. Mengapa menjauh sedangkan Dia sentiasa dekat dengan kita. Mengapa menyendiri sedangkan Dia ada bersama kita. Dan mengapa berdiam sedangkan Dia ingin sekali mendengar bicara kita.

Kita hanya ciptaanNya. Kadangkala hati ini terpesong. Mengapa kita terlalu mencintai ciptaannya berbanding penciptanya sendiri? Mata ini sentiasa mencintai apa yang dilihat tetapi hati yang bersih akan lebih mencintai walau tidak mampu dilihat dengan mata.

Langit tidak selalu cerah. Hari-hari kita tidak akan selalu bahagia. Dugaan akan terus datang. Hati yang kuat sahaja yang mampu menempuhnya dengan sabar, andai hati ini benar-benar mencintaiNya.