Tuesday, August 25, 2015

Cerpen : Lelaki Ini




LANGKAH dihentikan. Tudung yang sudah kusut aku tarik sedikit ke belakang. Panas. Itulah status cuaca hari ini. Namun selagi ada kudrat, selagi ada tulang empat kerat ini, aku tidak akan pernah berhenti. Aku tidak akan berputus asa. Aku berjalan mendekati seseorang setelah kelibatnya kelihatan.

"Amboi, sedapnya minum air..." ujarku sambil memulas telinganya.

"Argh..argh...sakitlah kak!" adu Hakim.

"Apa sakit-sakit? Orang suruh edar risalah bukannya duduk bertinggung minum air dekat sini. Dahlah tak ajak sekali!" Aku bercekak pingggang. Masam mencuka mukaku. Kurang asam punya adik. Aku punyalah panas berjalan sana sini. Dia pula boleh berhenti rehat dan minum dekat sini. Depan bengkel kereta pula tu. Tak ada port lagi comel ke?

"Orang penatlah. Dahaga pula tu. Akak bukan nak sponsor air pun." Laju mulut itu membalas.

"Ewah sedap kau suruh akak taja air. Ingat orang duta Spritzer ke apa? Dahlah jom balik." Bahu Hakim aku pegang dan menolaknya dari belakang. Kalau nak tunggu dia jalan sendiri, dengan keadaan jasad yang tidak bermaya ni, hmmm alamatnya esok pagi aku nak keluar rumah pun dia tak sampai lagi. Berat tulang betul.

"Dah habis dah semua?" soal ayah tatkala kaki melangkah masuk rumah. Aku merebahkan badan di sofa. Hakim? Karpet di lantai sudah diciumnya.

"Kina punya dah habis. Hakim punya taktaulah pula. Agaknya dia dah telan semua risalah tu." ujarku.

Ayah hanya tersenyum. Kepala aku, ayah usap perlahan. "Kesian anak-anak ayah ni, nampak penat semua." Aku senyum. Untuk ayah, apa-apapun sanggup aku lakukan.

"Ayah dah masak, pergilah makan dekat dapur."

Sebut saja soal makanan, luas mata Hakim melihat bumi. Kau tidur-tidur ayam rupanya. Berdesup dia bangun ke dapur. "Hoi, tunggu akak lah!" Ini lagi kurang asam. Nak melantak pun sorang-sorang, mana pernah nak ajak orang. Hish!


JELINGAN di sebelah tidak aku hiraukan. Aku terus menyalin nota-nota yang tercatat di papan tulis dengan segera. Laju tanganku bergerak. Kena salin cepat sebelum bom atom Hiroshima di sebelah ni meletup.

"Siap!" Aku terus menutup buku dan menyimpan pen. Tiba-tiba tanganku ditarik. "Woi, apa tarik-tarik tangan orang ni? Putus kang, kau boleh sambung balik ke?" marahku. Marah-marah manja saja.

"Peduli apa aku. Kalau putus, aku hantarlah pergi tukang jahit suruh jahit balik. Senang cerita."

Bulat mata aku mendengar. "Amboi mudahnya kau cakap? Kau ingat aku ni anak patung bulu kapas ke senang-senang saja kau nak suruh jahit sana sini. Hei, I'm human you know." Haaa tak tersemena-mena terkeluar bahasa Eropah pula. Wajah cemberut Fyra aku pandang.

"Kau tak payah nak muncung sangat mengalahkan penyangkut baju. Dahlah, silakan tuan puteri." Aku membuka pintu dewan kuliah, memberi peluang untuk Fyra lalu. Dia ni kalau lapar, tak menyempat-nyempat. Dah terketar-ketar dari dalam kelas lagi.

"Ini semua salah kau lah!" ujar Fyra menyalahkan aku. Terangkat kening aku sebelah.

"Apahal pula salah aku?"

"Kau la lambat macam siput sangat. Tengok dah ramai orang. Habislah karipap kegemaran aku tu."

Aku rasa macam nak sekeh-sekeh kepala si Fyra ni. Sanggup dia marah aku hanya kerana sebiji karipap. Deyy! Setakat karipap inti sardin tu malam ni pun aku boleh tolong buatkan untuk kaulah. Ini tidak, sampai hati kau menduakan aku dengan karipap. Cis!

"Weh, ni Nurul Sakina la. Kau nak karipap kan? Meh aku tolong dapatkan." Tangan Fyra aku pegang dan tariknya ikut langkahku. Orang ramai di sekeliling tidak aku pedulikan. Aku main redah saja semuanya. Yang penting perut Fyra yang tengah mendondang sayang ni dapat diisi. Barulah tak pok-pek pok-pek mulut dia marah aku.

Sibuk sangat nak mencelah sana dan sini sehingga aku tidak perasan akan seseorang yang sedang melintasiku. Tidak sempat aku masukkan brek pada kakiku, bahu kami berlanggar dan yang paling seronok air kopi ais di tangan dia terus tertumpah pada baju aku akibat getaran dari pelanggaran itu. Air kopi kot! Baju aku dahlah warna putih. Sengsaranya.

"Woi, buta ke? Mata kau letak mana?" Sapa satu suara yang agak mendesingkan telingaku. Muka, aku angkat.

"Eh perempuan, kau dah kenapa main langgar orang sesuka hati?" soal lelaki itu lagi. Weh! bahasa dia betul-betul buat aku rasa macam nak nangis. Tambah-tambah lagi apabila banyak mata yang sedang melihat. Aci tak kalau aku buat-buat pengsan dekat sini? Nanti mesti lelaki ni kesian dekat aku. Lepas tu tak jadi nak marah aku. Ya, bernas juga idea aku. Okey cepat Kina, buat-buat pengsan sekarang.

Belum sempat aku mahu melemahkan badanku, Fyra di belakang menegur. "Kina, apa kita nak buat ni? Takut aku tengok muka lelaki tu. Dah macam perogol bersiri tapi hensemlah juga hihi."

Kali ini aku bukan setakat nak sekeh tapi aku nak belasah cukup-cukup si Fyra ni. Dahlah potong stim lakonan aku, sekarang dia nak bergosip pula. Eh geram pula aku.

Bunyi hentakan cawan pada meja memeranjatkan aku. Terkejut mak oi! Kenapa dengan lelaki ni? Air kopi dua ringgit tumpah pun nak angin macam King Kong. Yang dia tumpahkan kopi atas baju aku tu tak apa pula. Tak ada pun aku nak lempar piring dekat dinding. Telenovela sangat!

"Kau bisu ke sampai tak boleh jawab soalan aku yang mudah tu?" soal dia lagi dan lagi. Banyak betul soalan dia. Itulah siapa suruh tak jawab.

"Tak bisu pun. Ni aku tengah bercakaplah!" Jerit aku kuat. Dah alang-alang semua orang dekat kafe ni dah pandang, biar satu universiti pula datang tengok sekali.

"Habis tu, yang kau diam tadi dah kenapa?" Menyinga lelaki itu menyoal. Bosan betul aku. Tak penat ke jegil mata tu lama-lama? Putus urat kang.

Aku senyum. Timbul satu idea di fikiranku. "Eh apa tu?!!" Tuju aku. Semua orang melihat termasuklah mamat tu. Saat semua orang tengah sibuk mencari, aku cepat-cepat pegang tangan Fyra dan apa lagi? Cabutlah! Padan muka semua orang tertipu. Peace no war sikit.


SUHU aku tingkatkan. Biar bagi panas sedikit. Setelah sudah agak panas, aku angkat setrika lalu menggosok pakaian yang berkedut itu. Sekejap ke kiri, sekejap ke kanan. Selang dua tiga minit, siap! Hmm hebat betul hasil tangan Nurul Sakina ni. Buat benda apa pun tetap menjadi. Ceh, rasa macam nak muntah pula bila puji diri sendiri.

"Beb, aku masih tak boleh lupalah apa yang jadi pagi tadi. Bila aku pejam aku nampak mamat tu. Bila aku celik, aku teringat mamat tu. Ish tak boleh jadi ni." suara Fyra dari belakang.

Aku senyum. "Haaa jangan-jangan kau dah tangkap cintan dengan dia. Cinta pandang pertama katakan." Kening aku angkat sebelah.

"Ish mana ada la. Bukan yang tu. Maksud aku, aku masih tak boleh lupa apa yang jadi antara kau dengan dia. Muka dia paling aku tak boleh lupa. Kau pun satu hal. Tengah dia duk marah-marah, boleh pula kau cabut lari. Ajak aku sekali pula tu."

"Habis tu kau nak aku tinggal kau, biar mereput dekat situlah? Okey, boleh je kalau aku nak buat." Pakaian yang seterusnya aku ambil lalu digosok.

"Eh kau janganlah buat macamtu. Tak ada la, aku ingat dia nak bawa kita pergi jabatan disiplin ke apa tadi. Takutlah aku."

Tertawa kecil aku mendengar kata-kata Fyra. "Takkanlah sebab terlanggar sikit pun sampai nak mengadu dekat jabatan disiplin. Merepeklah kau ni. Kalau ya pun dia nak buat, apa ingat aku takut ke? Aku turut jadi mangsa tau," balasku. Nasib baiklah ayah aku ada kedai dobi sendiri. Bolehlah aku nak menyental kotoran-kotoran degil yang dah terkena pada baju aku tu. Jimat sikit.

"Eleh, tak takut konon. Kalau tak takut kenapa kau diam je bila mamat tu tanya? Kesian dia tau cakap sorang-sorang. Tadi sipi-sipi je lagi aku nak tolong jawabkan."

Aku mencebik. "Lutut sendiri pun nak longgar, ada hati nak jawab." Fyra menayang sengih.

"Hmmm ni semua salah aku. Kalau aku tak desak kau, mesti kau takkan tergesa-gesa nak dapatkan karipap tu. Ini semua salah aku!" ujar Fyra. Dah macam nak nangis saja aku tengok. Haih nasib kau la Kina dapat kawan perangai kanak-kanak macam ni. Tapi bukan masa kena marah tadi aku pun rasa nak nangis ke? Argh lantaklah.

Setrika aku letak di tepi. "Alah, tak ada apa pun la. Benda kecil je. Kau tak payah nak salahkan diri kau. Tak ada sapa pun yang salah." pujukku.

"Tapi nanti kalau kau terjumpa balik mamat tu macam mana?"

Jumpa? Yelah, kenapalah aku tak terfikir pun benda tu. Tapi aku tak pernah nampak pun mamat tu sebelum ni. Alah biarlah kalau jumpa pun. Dia nak hentak cawan ke, baling pisau ke, apa aku kisah? Aku balaslah balik. Ingat senang ke nak kalahkan Nurul Sakina. Tengok bapak dia la. Huh!


BUKU-BUKU yang berselerak aku ambil dan susun dengan kemas. Kemudian aku masukkan kesemuanya ke dalam beg. Begitu juga dengan kotak pensel.

"Aku balik dulu," ujarku.

Fyra yang sedang khusyuk membuat kerja mendongak, "Weh janganlah pergi lagi. Tunggulah aku siapkan kejap."

"Aku nak kena cepat ni. Balik ni aku nak kena tolong ayah aku dekat dobi. Tak termasuk lagi aku kena tunggu bas berjam-jam."

Fyra mengeluh. "Alah kau balik jelah dengan aku. Nanti pemandu aku datang, kita baliklah sama-sama. Boleh eh?"

"Ish tak naklah, aku segan. Kau baliklah dengan pemandu kau tu. Aku dah biasa naik bas." balasku. Tak sanggup aku nak jadi mem besar. Tiba-tiba naik kereta siap ada pemandu. Orang kaya tak apalah. Aku tak kaya tapi in shaa Allah akan datang. Hee

Fyra muncung. Tanda protes sebab aku tak nak dengar cakap dia. Alah nanti aku belanja karipap, eloklah tu nanti. Macam tak biasa. Baru aku mahu buka langkah, tiba-tiba tanganku ditarik.

"Tunduk Kina, tunduk." Arah Fyra sambil menolak kepala aku ke bawah.

"Eh apahal kau ni? Rosaklah tudung aku." Pantang tokwan tokki aku kalau ada orang main sentuh-sentuh tudung ni. Mulalah aku nak buka langkah silat nanti.

"Nanti dia nampak kaulah." ujar Fyra. "Siapa dia?" Aku pandang kawasan sekeliling pusat pelajar itu tapi tiada siapa pun yang mencurigakan. Lagipun apa salahnya kalau orang pandang aku. Dah lawa, orang tengoklah. Eh?

"Mamat yang marah kau haritu la. Dia ada dekat situ."

"Mana?"  Aku pandang ke arah tempat yang ditunjuk Fyra. Ya, memang benar lelaki tu. Dia pelajar dekat sini juga rupanya. Tapi tak pernah kenal pun? Hmm pelajar baru kot.

"Tapi kawan dekat sebelah dia tu bukan Amir ke, budak kelas kita tu? Macam mana mereka kenal? Entah-entah abang dia ke apa." suara Fyra.

Iyelah, betul cakap Fyra. Macam mana si Amir tu boleh kenal mamat tu pula? Nampak macam rapat semacam saja. Abang dia ke? Tak mungkinlah. Mamat tu hensem tapi Amir...emm bolehlah. Heh aku cakap bolehlah okey bukannya hodoh. Jangan salah faham okey.

"Habislah kau, Kina."

"Habis apa?"

"Amir dah jadi sekutu mamat tu la."

Aku menggeleng. Sekutu apa bendalah. Macam nak pergi berperang. Lantaklah. Tapi siapa mamat tu dan macam mana Amir boleh kenal dia? Amat mencurigakan.


"MASUK!" laungku tatkala kedengaran pintu bilik diketuk.

"Kak Kina..." Aku menoleh ke belakang melihat Dania yang berdiri di pintu. Apa pulalah yang si kecil ni buat dekat sini. Aku senyum,

"Ya, ada apa Nia?"

Dania memanjat katil dan duduk di sisiku. Di tangannya terdapat sebuah buku. Aku mengemas sedikit nota-nota yang berselerak di atas katil. Memberi ruang kepada Dania supaya dapat duduk dengan selesa.

"Nia nak tunjuk lukisan yang Nia lukis dekat sekolah tadi." Dania membuka buku lukisannya. Dalam lukisan itu terdapat lima orang, dua lelaki dan tiga perempuan. Aku tahu Dania melukis gambar keluarga kami.

"Akak...Tak elokkan lukisan ni? Nia tak tahu muka ibu," luah Dania. Aku pandangnya dari sisi. Kesian Dania. Aku usap kepalanya perlahan. Aku bangun dari dudukku dan kembali semula kepada Dania dengan sebuah bingkai gambar.

"Kenapa pula Nia tak tahu muka ibu? Kan akak pernah tunjuk gambar ni." Aku lihat Dania mengeluh. Rasa simpatiku tumpah padanya.

"Beruntungnya akak dengan abang Hakim dapat bergambar dekat ibu. Nia langsung tak ada gambar dengan ibu. Nia sedih, kawan-kawan dekat sekolah semua ada ibu. Nia sorang saja yang tak ada." luah Dania lagi.

"Nia, walaupun ibu tak ada depan mata kita tapi ibu sentiasa ada di hati kita. Akak nak Nia tahu, walau sejauh manapun jarak kita dengan ibu, ibu tetap selalu ada dan sayangkan kita. Nia selalu tak doakan ibu macam yang akak suruh?"

Dania tersenyum lalu mengangguk. "Mestilah. Setiap hari mesti Nia doakan ibu. Walaupun Nia tak pernah jumpa ibu, Nia nak ibu tahu yang Nia tetap sayangkan ibu . Tapi cinta Nia pada ibu tak dapat menandingi cinta Allah pada ibu. Sebab tu ibu pergi dulu, kan akak?"

Aku pandang Dania lama. Adik akak dah besar. Sebesar mana Dania, selama itulah ibu telah meninggalkan kami. Pesan ibu masih terngiang-ngiang di telingaku. Seperti baru kelmarin ibu meninggalkan kami.

"Kina..." panggil ibu. "Ya ibu." jawabku.

"Jan...janji dengan ibu."

"Janji apa?"

"Jaga adik-adik dengan baik. Jadi...kakak yang baik, ya?"

Lamunanku terbang tatkala Dania memelukku. "Akak, Nia masuk tidur dulu ya. Nia nak pergi dating dengan ibu. Bye!" Lambai Dania sebelum menutup pintu.

Dania membesar dengan baik dan sihat. Ibu mesti bangga. Ya, Kina janji, Kina akan jaga adik-adik dengan baik, ibu.


SUASANA dewan kuliah sunyi sepi. Hanya suara pensyarah di hadapan saja yang kedengaran. Semua pelajar memberi perhatian kecuali yang tengah tidur siap berdengkur ni. Orang datang nak belajar, dia nak tidur pula. Ceh.

"Baik, untuk tugasan yang seterusnya saya nak kamu buat dalam berkumpulan. Setiap kumpulan ada tiga orang ahli dan saya dah tetapkan semuanya." ujar Prof.Yusof. Aku dengar dengan sebaik mungkin. Prof.Yusof ni suka sangat bagi tugasan dalam kumpulan dan setiap kali tu mesti aku akan satu kumpulan dengan makcik yang dekat sebelah ni. Fyra yang tengah terbongkang di sisi aku pandang. Aku menggeleng. Contoh pelajar terbaik katakan.

"Kumpulan yang pertama, ahlinya ialah Zafyra Akma, Nurul Sakina dan Rayyan Fiqry."

Panjang leherku tatkala nama aku disebut. Eh kejap aku kumpulan dengan siapa tadi? Rasanya ada nama aku, Fyra dan....

"Mana ahli kumpulan ni?" soal Prof. Yusof

"Saya, Prof." ujar satu suara. Macam pernah aku dengar suara tu tapi dekat mana ya? Aku toleh ke belakang. Bulat mataku melihat. Alamak, matilah aku. Fyra, bangun!


"INI semua salah kau!" ujar Fyra marah. Muka, aku angkat. "Apahal pula salah aku?"

"Memang salah kau pun. Kalau tak kerana kau memaksa, aku tak akan ambil engineering course ni dan kalau aku tak ambil engineering, aku tak akan jumpa mamat singa tu." jawab Fyra.

Terlopong aku sebentar. "Amboi-amboi sedapnya kau salahkan aku. Kau cakap kejap masa bila aku paksa? Eh kau sendiri tau yang isi borang tanpa pengetahuan aku. Lepastu nak cakap aku paksa kau pula. Boleh jalanlah." Geram pula aku. Ikut suka hati jantung buah pinggang makcik ni saja nak tuduh-tuduh aku yang baik ni.

Aku lihat Fyra meraup-raup mukanya. Selekeh betul dia hari ni. "Argh lantaklah. Yang penting, macam mana sekarang ni?" soalnya.

"Macam mana apa?" soal aku balik.

"Ish kau ni slow lah. Kau sedar tak lepas ni tiap-tiap hari kita kena hadap muka mamat singa tu atau nama sebenar dia Rayyan Fiqry apa ke benda entah. Macam mana ni weh? Tak sanggup aku. Boleh makan dalam kalau tiap-tiap hari aku pandang muka garang dia tu. Kau tak nampak ke macam mana dia jeling kau masa dalam kelas tadi? Aduh menusuk weh!"

Keluhan aku lepaskan. Betullah apa yang Fyra cakap tu. Entah apa dosa aku sampai kena satu kumpulan dengan dia pula. Kenapalah dalam banyak-banyak jurusan, dia nak juga satu jurusan dengan aku. Kelas sama dengan aku, sekarang satu kumpulan pula tu. Aduh, ana pening, pening!


KERUSI aku tarik lalu segera melabuhkan punggung. Fyra turut mengambil tempat duduk di sisiku. Aku angkat tangan untuk membaca doa. Selesai membaca doa, aku terus mencapai sudu dan garfu. Lepastu apa lagi, makanlah. Aku tarik pinggan yang berisi mi mamak kaw-kaw di atas meja.

"Nah!" Belum sempat aku menyuap mi, satu fail dilempar betul-betul di hadapanku. Nasib baik tak masuk dalam pinggan mi mamak kaw-kaw aku ni. Kalau tidak, kempunanlah aku.

Aku pandang dengan geram insan yang berdiri terpacak di hadapan aku saat ini. "Apa ni?" soalku melirik kepada fail yang baru dilempar tadi.

"Fail." jawabnya sepatah.

Aku mendengus geram. "Aku tahulah fail. Aku pun pergi tadika juga dulu." Fyra yang di sebelah tergelak, Tergelak sebab lawak aku atau pun lawak mamat ni, aku sendiri kurang pasti.

"Semua bahagian aku dah siap. Tinggal nak kumpul dan taip balik saja. Kau pandai-pandai sendirilah buat." Belum sempat aku berkata apa-apa, dia sudah berlalu pergi. Eee geramnya aku dengan singa ni. Suka-suka hati dia saja nak datang, kemudian suka-suka hati dia saja nak pergi. Aku tak habis cakap lagilah woi!

"Fuyoo Kina. Kau cuba tengok hasil kerja dia. Lengkap gila." Entah bila pula fail itu berada di tangan Fyra. Biarlah, yang penting aku nak sambung makan. Asid di dalam perut sudah menggelegak.

"Weh Kina, agak-agak dia guna gear berapa ya? Cepat betul dia siapkan kerja. Aku sendiri tak buat apa-apa lagi."

"Entahlah, aku rasa dia kawan baik dengan Fernando Alonso. Alah pemandu Formula One tu," jawabku selamba.

"Betul ke? Kenapa aku tak pernah nampak dia dekat televisyen pun?" soal Fyra lurus.

Aku hanya menggeleng. Kenapalah otak kawan aku ni lambat sangat proses? Agak-agak kalau aku cakap mamat tu sepupu belah nenek tiri Brad Pitt pun dia percaya rasanya.


BAJU-BAJU di dalam raga aku ambil lalu memasukkannya satu persatu ke dalam mesin basuh. Setelah selesai, aku tekan butang 'on'. Kena tunggu beberapa minit, kemudian keringkan.

"Kina, jom ikut ayah." panggil ayah.

"Pergi mana?"

"Pergi hantar baju."

Aku membontoti ayah. "Eh bukan selalu pelanggan datang ambil sendiri ke?'

"Iye tapi ini pelanggan istimewa." jawab ayah.

Istimewa? Apa pula yang istimewanya? Malas banyak soal lagi, aku hanya mengikut langkah ayah. Sempat aku berpesan kepada Hakim suruh keringkan baju yang baru aku basuh tadi.

Teragak-agak kaki aku mahu melangkah turun dari van. "Betul ke rumah ni ayah?" tanyaku sekali lagi untuk memastikan.

"Berdasarkan alamat yang ditulis, betullah rumah ni," jawab ayah.

Aku buka pintu belakang lalu mengambil baju yang tersangkut. Aku mendongak ke atas memandang rumah banglo yang tersergam indah itu. Ini rumah ke istana? Besar gila. Kalau main sorok-sorok ni, mesti tiga hari tiga malam terbaring sebab penat cari.

"Datin Marissa." Aku membaca nama yang terlekat pada plastik baju. Patutlah ayah kata istimewa, orang ternama rupanya. Air liur aku telan. Entah kenapa rasa macam tak sedap hati pula. Pagar aku hampiri, lalu menekan loceng yang tersedia. Setelah beberapa kali loceng aku tekan, pintu pagar yang besar itu pun terbuka. Aku melangkah masuk dengan tenang.

Tadi kena tekan loceng dekat pagar, sekarang kena tekan loceng dekat pintu pula. Haih payah betul jadi orang kaya ni. Setelah loceng aku tekan, pintu pun dibuka dari dalam.

"Ya, ada apa neng?" Sekali keluar bibik Indon pula.

"Err..saya nak hantar baju."

"Untuk siapa, ya?" soal bibik itu lagi.

"Datin Marissa." Aku senyum tapi senyum aku mati tatkala seseorang yang lain muncul di muka pintu.

"Siapa tu bik?"

"Non ni bilang mahu hantar baju untuk Datin Mar."

"Baju?" Lelaki itu menoleh memandang aku.

Tolonglah jangan buat muka terkejut tu. Kalau kau terkejut, aku lagi berlipat kali ganda terkejut tau. Ayah, tolong Kina!


AKU menahan rasa marah di hati. Geram melihat manusia di hadapan aku ini. Rasa macam nak benam saja kepala dia dalam air. Angkat, lepastu rendam balik. Asyik kena ikut cakap dia saja. Huh!

"Idea aku dah cukup bagus ni, ikut sajalah." ujar singa itu atau orang sini selalu panggil dia Fiq.

"Mana boleh macam tu. Ini kerja berkumpulan tau. Tak boleh asyik kena iku cakap kau je," balasku geram.

"Aku dah penat-penat buat, korang cuma perlu ikut saja."

Aku mengerling Fyra yang hanya diam di sisi. Entah bahasa apa lagi yang perlu aku cakap dekat dia ni. "Habis tu nanti semua markah dapat dekat kau soranglah? Mana boleh, melampau gila!"

"Kau sendiri cakap ini kerja berkumpulan. Mestilah semua dapat. Itu pun tak reti fikir. Kau patut bersyukur aku dah banyak tolong. Bukannya banyak soal macam ni." Dia menjeling aku.

Hish sabar sajalah aku dengan dia ni. Asyik nak ikut kepala otak dia saja. Dahlah selalu lari dari perbincangan. Lepas tu suka paksa-paksa orang. Eeee meluat betul aku!

"Ikut sajalah kalau kau rasa nak dapat markah tinggi. Kalau tidak, hmm isilah borang keluar ya. Entah mampu ke tidak ayah kau nak tanggung kau nanti." ujar Fiq sambil senyum sinis.

Bulat mata aku mendengar bicaranya. Apa ni main sebut-sebut nama ayah? Weh ini sudah kes menghina. Tak boleh sabar dah aku. Baru saja aku mahu membuka mulut, Amir datang menyapa.

"Woo apa bising-bising ni? Dari jauh lagi aku boleh dengar. Korang berbincang ke bergaduh?"

"Kau diam!" ujar kami berdua serentak. Aku jeling Fiq. Sibuk saja nak tiru apa orang cakap.

"Sorry, sorry. Kina aku datang sini cuma nak ajak sepupu aku ni teman aku saja. Boleh tak aku nak pinjam dia untuk hari ni?"

Sepupu? Oh sepupu dia rupanya. Patutlah kamceng semacam saja. Tapi kenapalah sikap mereka berdua ni bagai langit dengan bumi. Yang si Amir punyalah berbudi bahasa tapi si Fiq ni hmm..sikit-sikit nak mengaum. Aum! Aum!

"Baguslah kau datang. Aku memang nak blah pun dari sini. Sakit hati aku duduk dekat sini lama-lama."

Aku mencebik. Haaa pergilah, pergi. Ingat aku suka sangatlah kau ada dekat sini? Kalau kau sakit hati, aku pula dah sakit jiwa, lemah jantung semua ada bila kau ada di sini. Nasib baiklah kau cepat berambus. Aman hidup aku.

"Kina, jomlah balik." suara Fyra yang hanya diam sedari tadi. Aku hanya mengangguk. Berakhirlah sudah 'perbincangan' kami ini.


PINTU almari aku buka. Baju-baju yang telah siap digosok aku letak di dalamnya. Sedang sibuk aku membuat kerja, ayah datang menyapa.

"Kina, tengok-tengokkan kedai ya? Ayah nak keluar sekejap," pesan ayah.

"Okey," balasku.

Beberapa minit selepas ayah keluar, kedengaran pintu kedai ditolak. Aku ke hadapan untuk melihat.
Pelanggan yang langsung tidak diundang rupanya.

"Nak apa?" soalku tanpa secebis pun senyuman.

"Aku nak hantar baju." Aku lihat hari ini Fiq segak dengan t-shirt merah dan seluar jeans. Nampak santai saja. Alah orang kacak, pakai apa pun nampak segak.

"Hoi kau mengelamun apa? Nak kerja buatlah cara kerja." tegur Fiq. Aku berdehem beberapa kali. Kantoi pula dah. Itulah siapa suruh hensem sangat hari ni.

"Bak la baju tu." Aku ambil beg kertas yang dihulur Fiq. Sempat dia berpesan suruh aku basuh elok-elok. Katanya baju tu mahal. Beli dari luar negara katakan. Eleh, berlagak gila. Aku sodok dahi kang!

"Dah lama ke ayah kau buka kedai dobi ni?" soalnya tiba-tiba. Eh ingatkan dah pergi. Sibuk nak temu ramah aku pula dah. Cukuplah dekat universiti saja kami gaduh. Jangan dekat sini pula.

"Lama la juga, sejak ibu meninggal." jawabku.

"Kau tak ada mak?" Aku menjelingnya. Nak tanya tu biar lengkap sikit soalan tu ya.

"Aku ada la mak. Kalau tak macam mana aku boleh lahir," mendatar saja suaraku. Suka-suka hati saja nak kata aku tak ada mak. Aku ada mak la, cuma dah meninggal.

"Samalah tu." balasnya. Tak sama langsung okey. Asyik nak menang dekat dia saja.

"Hai Kak Kina, Nia dah balik." sapa Dania ceria. Aku ambil beg di tangan Dania dan letakkannya di tepi. Si kecil dah balik sekolah. Wajah penat Dania aku pandang.

"Akak dah beli nasi tadi, Nia pergi makan dekat belakang ya."

"Eh siapa abang hensem ni? Hai abang." tanpa menghiraukan arahanku, Dania mendekati Fiq. Amboi kecil-kecil lagi dah pandai adik aku ni. Pantang nampak orang hensem, cepat saja dia.

"Hai, nama adik Dania ya?" Dania mengangguk laju.

"Abang ni siapa? Kawan Kak Kina eh?"

"Nama abang Fiq. Abang bukan kawan dia, abang datang sini cuma nak hantar baju je." Ceh, bukan kawan aku. Iyelah, memangnya siapa yang sudi nak jadi kawan kau? Aku pun tak hinginlah. Puihh!

Sebelum Fiq beransur pulang, sempat Dania meminta nombor telefonnya. Weh aku sendiri pun tak pernah ada, adik aku sendiri pula dapat. Eh yang aku sibuk sangat ni kenapa? Biarlah. Dah jadi kawan pula mereka dua. Suka hatilah, janji kau jaga hati adik aku ya Rayyan Fiqry. Kalau tak, aku sumbat kau masuk mesin basuh ayah aku ni. Hmm!


AKU meneguk air mineral yang baru dibeli dengan rakus. Dahaga yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata. Lega rasanya lepas minum. Fuhh! Kelas yang penuh dari pagi sehingga petang benar-benar memenatkan. Letih mata ni tak payah cakap. Sikit saja lagi nak tersengguk dalam kelas. Sekarang kena jalan kaki pergi tungu bas pula. Haih sabarlah wahai diri. Saat aku melintasi satu lorong yang kecil, kedengaran seperti suara orang menengking. Segera aku pergi melihatnya.

"Cepat serahkan dompet dan telefon kau kalau kau nak selamat!!"

Aku menutup mulut. Terkejut dengan situasi itu. Ada orang nak kena rompaklah. Aduh macam mana ni? Apa patut aku buat? Tiba-tiba aku terpandang sesuatu. Timbul satu idea di fikiranku.

"Kau degil ya? Nampaknya ajal kau dah semakin dekat." Pisau lipat dikeluarkan dari poket belakang. Perompak itu mendekati bakal mangsanya.

"Hiiiiiyargh!" Aku berlari ke arah perompak itu lalu memukul belakangnya dengan sebatang kayu yang sempat aku kutip sebentar tadi. Jatuh terjelopok terus dia.

"Haaa padan muka kau. Rasakan!" ujarku puas. Lembik rupanya dia ni.

"Kina?" suara seseorang.

Aku pandang ke hadapan. "Fiq?"

"Kau buat apa dekat sini?" soalnya.

Aku tergamam. Tidak tahu mahu jawab apa. Sebenarnya apa yang tengah aku buat ni? Rasanya aku tengah tolong orang dari kena rompak dan orang itu ialah Fiq. Ternyata Fiq ialah orang yang nak kena rompak tu dan aku tengah menolongnya?

"Aku...aku...."

"Kina, jaga-jaga!"

Aku toleh ke belakang dan melihat perompak itu sedang mendekatiku dengan pisaunya. Hidup lagi rupanya dia ni. Ingatkan dah wassalam tadi. Saat perompak itu mengacukan pisau padaku, aku segera menendang perutnya dan menumbuk mukanya. Pada saat itu, aku mengambil peluang untuk mengilas tangannya ke belakang dan membuang pisau dari tangannya. Tapi tenagaku sebagai wanita pastinya tidak mampu menandingi kekuatannya. Dia menolak aku. Fiq segera membantu aku untuk bangun.

Aku memegang tangan Fiq yang berlapik. Perompak itu bangun semula dengan pisau di tangan.

"Satu..." kira aku perlahan.

"Kau nak buat apa ni?" bisikan Fiq tidak aku hiraukan.

Saat perompak itu mendekatiku selangkah, aku mengundur setapak. Makin dia maju, makin aku undur.

"Dua..."

Dapat aku lihat muka marah dan bengis perompak itu. Dia semakin menghampiri. Aku pula semakin mengundur dan...

"Tiga. Cabut!!!!" Aku segera menarik tangan Fiq yang sedia aku pegang, kemudian melarikan diri. Dengan sepenuh tenaga dan kudrat yang ada, aku berlari laju keluar dari lorong sepi itu.  Tangan aku masih memegang tangan Fiq. Nasib baik dia ni laju juga lari. Kami segera ke tempat yang terbuka dan lebih ramai orang. Nasib kami baik kerana perompak itu tidak terus mengejar kami. Dia dah penat agaknya.

Larian dihentikan. Aku melepaskan tangan Fiq. Tercungap-cungap aku di tepi jalan. Penat yang tidak dapat dijelaskan. Memang kerja gila betul apa yang aku dah buat hari ni. Tolong orang kena rompak? Tak pernah dibuat seumur hidupku.

"Apa masalah kau sebenarnya? Kau dah gila ke?!" tengking Fiq tiba-tiba. Muka, aku angkat. Terkejut mendengar tengkingannya. Penat berlari pun tak habis lagi, tiba-tiba kena marah pula.

"Apa maksud kau?" dengan nafas yang tercungap-tercungap aku bertanya.

"Kau memang selalu macam ni ke? Ada masalah saja, terus lari. Yang kau sibuk-sibuk nak tolong aku tadi dah kenapa?"

Terkedu aku sebentar. Dia tengah marah aku ke sekarang ni? Dia sedar tak aku yang tolong selamatkan nyawa dia tadi?

"Kau cakap apa ni? Aku dah tolong kau tadi, sepatutnya kau dah bersyukur rahmat tau. Kalau aku tak tolong kau tadi, mesti kau dah......."

"Tak payahlah! Aku tak minta pun bantuan kau. Kau tak payah nak sibuk-sibuk tolong aku." Wajah garangnya aku pandang.

Sungguh aku tak tahu dah nak kata apa. Dia manusia yang paling pelik yang pernah aku jumpa. "Memanglah kau tak minta bantuan aku tapi atas dasar kemanusiaan dan masyarakat yang baik hati, aku rela bahayakan diri juga untuk tolong kau. Kau sedar tak benda tu? Aku dah tolong kau, tapi ini ke balasan yang aku dapat?!" luahku geram. Tangan aku angkat untuk menamparnya tapi tidak kesampaian. Entah kenapa rasa berat pula.

"Kina, tangan kau...." Aku menunduk memandang tanganku. Boleh dilihat baju aku yang berwarna kuning sudah bertukar menjadi warna merah. Patutlah rasa pedih semacam. Mungkin tanganku terkena pisau sewaktu berlawan dengan perompak itu tadi. Saat Fiq ingin memegang tanganku, aku menepis.

"Tak payah sentuh!" tegurku marah. Tanpa memandang wajahnya, aku terus berlalu pergi. Bukannya nak cakap terima kasih ke, thank you ke atau arigatou gozaimasu ke sebab dah tolong dia tapi lain pula yang aku dapat. Aku benci kau, Fiq!


TANGAN yang masih berbalut aku usap lembut. Luka di tangan aku sudah semakin baik tapi entah kenapa terasa seperti sakit itu berpindah pula ke hati ni. Masuk hari ini sudah tiga hari aku tak nampak Fiq. Jangan kata batang hidung, bayang pun tak nampak. Aku tanya Amir, dia sendiri pun tak tahu. Kenapa dengan dia? Ada sesuatu yang menimpa dia ke?

"Woi mengelamun apa tu?" Sergah Fyra. Aku hanya senyum nipis.

"Itulah, bila ada depan mata bercakaran. Bila dah jauh, berindu-rinduan pula."

Kening aku bertaut mendengar bicara Fyra. "Apa kau merepek ni? Bermadah di siang hari tak tentu pasal."

"Aik, tak faham ke? Atau buat-buat tak faham?" Terangkat-angkat kening Fyra.

Malas aku nak layan. Bercakaran? Kami memanglah bergaduh tapi tak ada la sampai bercakar. Rindu? Tak mungkin. Sapa nak rindu dia. Tolong la..tapi kenapa aku rasa macam kosong bila dia tak
ada...

Keadaan yang sama juga berlaku di rumah. Satu kerja apa pun tak jadi. Bila masak, nampak muka dia dalam kuali. Bila menyapu, terbayang jelingan dia dekat lantai. Nak tidur lagilah, terbawa-bawa sekali muka hensem dia dalam mimpi. Ish gila ke apa aku ni? Tak boleh! Aku tak boleh terus-terusan macam ni. Lama-lama boleh gila bayang. Aku bangun dari dudukku lalu mengatur langkah keluar dari bilik. Di ruang tamu aku nampak ayah sedang menonton televisyen sambil picit kepala. Aik tengok televisyen pun stress ke? Aku mendekati ayah.

"Ayah okey ke?" soalku.

Seperti selalu, ayah hanya tersenyum. "Tak ada apa Kina, cuma..."

"Cuma apa ayah?" soalku lagi. Ayah ni cakap main sekerat-sekerat pula dia. Saspen betul!

"Kita kena tutup kedai dobi buat sementara waktu ni."

Sebaris ayat yang keluar dari mulut ayah benar-benar mengejutkanku. "Hah? Kenapa pula nak tutup? Bisnes kita okey saja kan selama ni?"

Ayah menunduk. "Memanglah okey tapi tuan punya kedai nak jual kedai tu dekat orang lain. Jadi kita terpaksalah pindah keluar." Wajah sayu ayah aku pandang. Tak boleh. Tak boleh macam ni. Aku kena lakukan sesuatu.


"TOLONGLAH tauke, bagilah kami peluang. Nanti bila kami dah cukup duit, kami belilah kedai tauke ni. Janganlah jual lagi," rayu aku.

"Tak boleh, tak boleh. Ini kedai saya kena jual juga maa. Kalau lu olang susah, saya juga susah maa mahu bayar hutang sana sini. Saya cuma kasi tempoh tiga hari saja untuk lu olang pindah keluar okey."

Aku terdiam. Hilang modal untuk berkata-kata. Papan tanda di atas aku pandang. Nama kedai sempena nama ibu megah terpapar di situ. Ibu, ayah maafkan Kina. Sekarang Kina rasa tak berguna langsung. Maafkan Kina.


LAJU kaki aku mengatur langkah menuruni tangga. Sampai saja di bawah, wajah seseorang aku cari. "Ayah?" panggilku.

Aku pandang ayah yang tengah sibuk berperang di dapur. Tersenyum aku melihat gelagatnya. Segak ayah hari ini dengan apron bunga-bunganya. Sejak jadi penganggur sementara ni, ayah makin rajin membuat kerja-kerja rumah. Sebelum ni pun rajin juga sebenarnya. Masa ayah lebih banyak di dapur dan di halaman rumah. Setiap petang ayah akan meluangkan masa bersama pokok-pokoknya. Aku senyum. Dialah ayah, dialah ibu.

"Nak pergi dah ke?" soal ayah mematikan lamunanku.

"Ya, Kina pergi kampus dulu ya. Assalamualaikum." Tangan ayah aku salam sebelum melangkah keluar. Macam biasa, ayah akan buat flying kiss padaku dan pastinya disambut olehku. Haha

Di kampus pula, suasana kini berubah. Seratus lima puluh persen berubah. Aku tak tahu dia di mana, ke mana dia menghilang dan apa sebabnya. Yang aku tahu kini hampir tiga minggu dia menghilang. Kalau ada kerja berkumpulan pun, aku dah kumpulan dengan orang lain. Tiada lagi pertengkaran, tiada lagi perbalahan. Sekarang semuanya sudah lain.

"Kina, kau okey ke tak ni?" Aku pandang Fyra di sebelah.

"Aku okey. Stress sikit je, final exam kan tak lama lagi," bohongku.

Tiba-tiba sahaja Fyra bangun. Dia memandangku. "Kau tak payahlah nak tipu aku yang dah nak sama besar dengan anak gajah ni, boleh tak? Sekilas ikan di laut, aku dah tahu mana yang single mana yang couple. Aku tahulah kau rindu Fiq. Tak payah nak tukar terbalikkan fakta."

Aku diam. Kalau aku rindu pun, kenapa? Salah ke?


JAM di tangan aku pandang sekilas. Mana pula bas ni tak datang-datang lagi. Dah berliter-liter peluh aku keluar, tak juga nampak bayang basnya. Nak naik teksi? Tidak akan! Mau pokai aku kalau naik teksi dari sini sampai rumah. Nak berjimat sangat kan, berdirilah kau Kina dekat sini. Hari ini entah kenapa aku rasa sepi semacam. Waktu aku keluar pagi tadi ayah dah tak ada dekat rumah. Adik-adik pergi sekolah. Fyra? Hmm yang itu lagilah. Bila aku telefon, dia punya batuk-batuk tu sampai nak terkeluar kerongkong. Sakit katanya. Entah demam ke apa aku pun tak pasti. Tergesa-gesa sangat nak letak telefon. Haih

Sebut pasal telefon, tiba-tiba sahaja telefon aku berbunyi. Hakim? Aku jawab panggilannya. "Assalamualaikum, nak apa?"

"Wa'alaikumussalam. Akak...akak..." kedengaran suara tercungap-cungap Hakim di sana.

"Eh kenapa dengan kau ni, Kim?" soalku mulai risau.

"Ayah...ayah kena...tutt..tutt.."

"Ayah kena apa, Kim? Eh hello? hello?" Panggilan terputus. Apahal terputus pula pada waktu kecemasan macam ni. Ayah kenapa? Tak sempat pula si Hakim ni nak beritahu. Ini yang buat aku risau gila. Tiba-tiba satu pesanan ringkas masuk. Aku segera membacanya. Tidak boleh jadi ni. Aku cepat-cepat tahan teksi yang lalu di situ. Nak tunggu bas sampai esok subuh pun belum tentu datang.


AKU melangkah masuk dengan berhati-hati. Rasa takut dan gentar di hati sedaya upaya aku usir. Yang penting sekarang keselamatan keluarga. Ya, aku harus berani. Aku sendiri terpinga-pinga akan situasi saat ini. Keadaan sekeliling yang gelap gelita membuatkan langkahku terbatas. Aku berjalan ke arah satu ruang. Alangkah terkejutnya aku saat melihat lilin-lilin yang tersusun cantik di atas lantai. Mengiringi setiap langkahku. Apa semua ni?

Tiba-tiba aku nampak satu cahaya di segenap ruang. Cahaya itu semakin lama semakin menghampiri aku. "Ayah?" panggilku,

"Allah selamatkan kamu...Allah selamatkan kamu...Allah selamatkan Nurul Sakina...Allah selamatkan kamu."

Sungguh aku terpaku melihat insan yang berdiri di hadapan aku saat ini. Wajah yang saban hari dirindui. Kenapa dia boleh tiba-tiba muncul di sini?

"Tiuplah lilin tu." Bagaikan dipukau, aku hanya menurut. Beberapa batang lilin yang berada di atas kek, aku tiup. Keadaan menjadi gelap semula. Hanya bertemankan lilin-lilin di lantai. Walaupun keadaan agak gelap tapi aku masih mampu melihat senyuman lebarnya itu.

"Selamat hari lahir yang ke-21, Kina. Aku doakan kau panjang umur dan murah rezeki selalu." ujar Fiq masih dengan senyumannya.

"Apa..apa semua ni?" Aku masih dalam kebingungan. Petang tadi aku dapat pesanan dari Hakim suruh datang sini. Katanya ada hal penting. Sekarang bila aku dah sampai,  Fiq pula yang muncul? Pelik. Siap bawa kek lagi. Eh kejap, hari ni hari lahir aku ke?

"Kau jangan buat muka macam tu boleh tak? Aku lempar kek ni dekat muka kau baru tahu."

Aku pandang Pavlova di hadapanku. Kek cantik macam ni dia nak lempar dekat muka aku? Amboi, suka hati saja. Ingat aku nak kasi ke?

"Suka kati mak bapak kau saja kan nak main lempar-lempar. Mana kau menghilang selama ni? Aku ingat dah hilang ditelan angin. Satu perkara lagi, macam mana kau boleh ada dekat sini? Petang tadi adik aku telefon kata ayah aku..."

"Aku minta maaf, Kina." Sebaris kata dari Fiq menghentikan bicaraku.

"Aku minta maaf sebab aku dah banyak sakitkan hati kau. Aku dah banyak berkasar dekat kau..aku minta maaf sekali lagi. Aku..aku sebenarnya fobia. Aku mula bencikan perempuan sejak bekas kekasih aku tinggalkan aku. Perasaan benci aku tu makin bertambah nak-nak lagi bila aku jumpa kau. Dengan perangai kau yang kelam-kabut dan huru-hara ni lagilah aku menyampah."

Tergamam aku dibuatnya. Dia cakap apa? Menyampah?

"Tapi aku mula sedar yang aku silap. Tak semua orang sama. Walaupun perangai kau macam ni tapi kau baik. Aku betul-betul tak sangka yang kau akan tolong aku haritu. Aku ingatkan kau bencikan aku." tambah Fiq lagi.

Memang! Memang aku bencikan kau! Tapi...

"Lepas kejadian haritu, aku terlantar di hospital. Aku tak tahu kenapa. Bila aku sedar saja, aku dah ada dekat hospital. Mama aku kata aku pengsan. Aku terlalu risau fikirkan kau. Tambah-tambah lagi bila aku tahu kau cedera tapi ego aku terlalu tinggi. Aku tak nak pergi jumpa kau walaupun pada hakikatnya aku perlu ucapkan terima kasih pada kau.

Aku terdiam. Bola matanya aku pandang lama. Bagaikan ada butir-butir permata di sebaliknya. Dia menangis? Sebab aku?

"Maafkan aku, ya?" pintanya lagi.

Tiba-tiba kedengaran sesuatu bergolek di atas lantai. Aku mengecilkan mata cuba melihat apa yang berlaku."Dania?"

Dapat aku lihat Dania yang terbonggok-bonggok di lantai terus berdiri sambil tersengih. Bertaut keningku. Dania ada di sini? Satu bunyi letupan mengejutkan aku dan...

"Suprise!!!" Keadaan sekeliling terus terang-menderang disimbahi cahaya lampu. Aku pandang tempat yang agak asing itu. Wajah-wajah insan yang langsung tidak aku duga muncul.

"Ayah..Hakim...Datin Marissa pun ada sekali. Fyra, kau pun ada? Bukan kau sakit ke? Tunggu kejap, aku masih tak faham. Apa semua ni?" Bertalu-talu soalan keluar dari bibirku.

"Kina, kau tak nampak lagi ke? Kita orang tengah sambut hari lahir kau la. Takkanlah hari lahir sendiri pun dah lupa?" ujar Fyra.

"Dan kita orang juga tengah raihkan pembukaan kedai dobi kita yang baru." tambah Hakim.

Ya, baru aku ingat hari ini hari lahir aku. Aduh, macam manalah aku boleh lupa. Macam nak tepuk dahi kuat-kuat saja pakai penukul. Yang pasal kedai dobi ni pula, okey yang ini memang aku tak tahu. Aku perlukan penjelasan.

"Ayah tak pernah beritahu Kina pun pasal kedai dobi baru?"

Ayah senyum. "Ayah memang nak beritahu tapi Fiq yang tak bagi. Dia kata nak beri kejutan sikit dengan Kina. Mesti Kina seronok, kan?"

Ya..seronok sangat ayah. Pandangan aku lirikkan pada Fiq. Tersengih-sengih dari tadi. Sekeh kepala kang? Cukup suprise sangatlah tu? Nasib baik aku tak mati kejang tadi.

"Sejak bila kau jadi bestfriend ayah aku ni?"

Fiq menayang sengih. "Sejak aku jadi enemy anak dia la."


AKU turun dari van lalu mengatur langkah ke dalam kedai. "Hoi, apa lambat sangat ni? Cepatlah sikit." laungku.

"Ya, datanglah ni." Tergopoh-gopoh Fiq dan Hakim membawa baju-baju yang telah siap dibasuh keluar.

"Akak ni asyik nak cepat saja, ingat orang Superman ke?" bebel Hakim. Eh budak ni banyak songeh betul. Sekeh kang. Nasib baik adik aku.

"Haaa susun elok-elok tau. Kalau tak kemas, jagalah korang!"

Nampak tak? Bertapa berkuasanya aku kini hahaha. Semua kuasa telah ayah wariskan pada aku. Kini ayah hanya menjadi suri rumah sepenuh masa. Yang uruskan dobi? Siapa lagi, aku la. Tapi jangan risau aku tak keseorangan. Aku turut dibantu oleh dua orang bibik ni. Siapa lagi kalau bukan Fiq dan Hakim. Ingat senang ke jadi bos? Susah tau, orang putih kata busy. Mana aku nak belajar lagi, mana nak urus kedai lagi. Dengan dua orang bibik ni yang tak boleh harap langsung. Aduhai, payah! Tapi dalam masa yang sama, aku turut bersyukur. Bersyukur sebab masih ada mereka yang tersayang. Bisnes pun makin okey dan yang paling seronok haaaa....

"Kau pandai mengarah orang je kan? Apa kata kau ikut tolong sekali." ujar Fiq.

"Eh apahal pula? Aku bos tau. Banyak lagi benda yang aku nak kena uruskan." Aku mencebik padanya sambil menjeling.

"Banyaklah kau punya bos, ambil ni!" Baju-baju pelanggan yang belum dibasuh dibaling pada aku. Weh baju orang kot! Busuk pula tu! Kemudian Hakim turut sama sertai. Apa lagi, mulalah perang baju. Ingat perang bantal saja ke yang ada?

"Okey, Hakim berhenti! Nanti baju rosak!" ujarku.

"Abang Fiq jangan berhenti. Cepat baling lagi!" Teriakan Hakim kedengaran. Kurang asam! Fiq pun bukan main, gelak mengekek dia. Aku menutup muka. Takut terkena serangan baju yang dilancarkan oleh bibik-bibik itu.

Tiba-tiba terasa bahuku dicuit. Fiq?

"Nah, have a nice day!" Sempat dia mengenyit mata padaku sebelum pergi mengatur langkah ke arah Hakim yang kelihatan masih seronok bermain. Sekuntum bunga di tangan aku pandang. Bunga manalah yang dia petik  ni? Kuncup saja tapi sweet.

Beginilah rutin harian Fiq sejak hubungan kami dah kamceng ni. Dia dengan bunga, dengan ucapan manis dia memang tak lekang dari bibir. Siapa sangka lelaki yang dahulunya garang bak singa boleh berubah menjadi seorang lelaki yang alahai manisnya tidak terucap. Adakah aku beruntung? Tak juga sebab ada juga sisa-sisa perangai dia yang dahulu tertinggal.

"Kina, cepatlah! Ingat masa tu sempat ke nak tunggu kau mengelamun."

Haaa kan dah kata. Walaupun manis tapi tetap ada pedas dalam kata-katanya. "Ya, datanglah ni."

Okeylah sebelum singa tu mengaum lagi, baik aku cepat-cepat pergi. Sampai sini saja, aku Nurul Sakina dan ini kisahku.

No comments: